Advancecon Umum Pelantikan Alicia Chin Mei Yoke sebagai CFO Baharu untuk Perkukuh Strategi dan Operasi”

Advancecon Holdings Berhad (“Advancecon” atau “Kumpulan”) (Bursa: 5281), syarikat terkemuka dalam bidang kerja tanah dan kejuruteraan awam di Malaysia, dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Alicia Chin Mei Yoke sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu, berkuat kuasa serta-merta. Pelantikan ini dibuat susulan peletakan jawatan Tan Chee Keong, yang telah mengambil keputusan untuk meneruskan peluang profesional lain. Lembaga Pengarah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan atas dedikasi dan sumbangan bernilai beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama Kumpulan.

Alicia hadir dengan lebih 25 tahun pengalaman luas dalam kepimpinan kewangan, khususnya dalam industri minyak dan gas global. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan utama di rantau Asia Pasifik bersama syarikat multinasional terkemuka seperti General Electric dan Baker Hughes. Terkini, beliau berkhidmat sebagai Penolong Pengawal & Peneraju Transformasi di Bahagian Kewangan Global Baker Hughes, bertanggungjawab terhadap operasi kewangan dua hab global serta memacu inisiatif transformasi bagi lebih 600 kakitangan.

Kepakaran strategik Alicia telah terbukti dalam mengoptimumkan kecekapan operasi, memperkukuh keuntungan dan meningkatkan ketangkasan organisasi. Sepanjang kerjayanya bersama Baker Hughes dan GE Oil & Gas, beliau memimpin perancangan kewangan berskala besar dan pengurusan aliran tunai bagi perniagaan dengan hasil melebihi AS$1 bilion, sambil membina pasukan kewangan yang berdaya saing tinggi di seluruh rantau ini. Sumbangan beliau dijangka menjadi pemangkin dalam mengurus pelaburan aset secara strategik bagi menyokong agenda pertumbuhan jangka panjang Advancecon.

Menurut Dato’ Phum Ang Kia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon Holdings Berhad, “Kami amat berbesar hati menyambut kehadiran Alicia ke dalam keluarga Advancecon. Pengalaman beliau dalam menerajui kepimpinan kewangan di peringkat global serta keupayaannya membina pasukan berprestasi tinggi amat bersesuaian dengan aspirasi kami untuk memacu pertumbuhan. Kami yakin kepakaran Alicia dalam transformasi kewangan dan pendekatan berasaskan data akan mengukuhkan lagi operasi kami dan mencipta nilai mampan kepada para pemegang kepentingan.”

Mengulas pelantikannya, Alicia Chin Mei Yoke berkata, “Saya amat teruja dan berbesar hati menyertai Advancecon pada fasa yang penuh potensi ini. Dengan visi yang jelas dan asas perniagaan yang kukuh dalam bidang infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui, saya berharap dapat bekerjasama erat dengan pasukan pengurusan dalam memperkukuh disiplin kewangan, meningkatkan tahap tadbir urus dan menyokong pertumbuhan strategik yang mampan.”

Pelantikan Alicia hadir pada waktu yang signifikan bagi Advancecon, yang kini giat memperluas segmen infrastruktur, memperkukuh portfolio tenaga boleh diperbaharui serta menambah baik amalan tadbir urus dan pelaporan kewangan bagi memenuhi jangkaan pemegang kepentingan yang kian berkembang.