TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Jazmy Juma dan Ezzanie Jasny Buat Penampilan Sulung Viu Original Menerusi Drama Penuh Emosi, Wali Dalam Tangisan

Platform penstriman video terkemuka, Viu, melabuhkan tirai barisan penerbitan Viu Original bagi tahun ini dengan membawakan sebuah naskhah sarat emosi berjudul Wali Dalam Tangisan (Tears Between Us). Bakal menemui penonton bermula 19 November 2026, drama romantik kekeluargaan sebanyak 12 episod ini mempertaruhkan gandingan sulung dua pelakon muda yang semakin meningkat naik, Jazmy Juma dan Ezzanie Jasny, sebagai teraju utama dalam siri Viu Original.

Naskhah ini mengangkat tema cinta terlarang, kesetiaan terhadap keluarga serta pengorbanan diri menerusi watak Alif (Jazmy Juma) dan Suraiya (Ezzanie Jasny). Walaupun berstatus bapa saudara dan anak saudara, kedua-duanya membesar bersama memandangkan jarak usia mereka yang hanya berbeza empat tahun. Hubungan rapat yang terjalin sejak kecil mula diuji apabila Alif memperkenalkan kekasihnya, Marsya (Syad Mutalib), kepada keluarga. Kehadiran Marsya mencetuskan rasa cemburu dalam diri Suraiya yang selama ini cuba memendam perasaan cinta yang dianggap tidak sepatutnya wujud.

Tanpa pengetahuan Suraiya, Alif sebenarnya turut menyimpan perasaan yang sama namun memilih untuk merahsiakannya demi menjaga batas serta keharmonian keluarga. Keadaan menjadi semakin rumit apabila kematian mengejut ibu saudara Suraiya yang juga kakak kepada Alif memaksa mereka berdepan dengan realiti perasaan masing-masing di tengah-tengah kesedihan dan tekanan keluarga yang kian memuncak.

Wali Dalam Tangisan mendapat sentuhan arahan bersama dua pengarah berpengalaman iaitu Riza Baharudin (Saat Aku Tahu) dan Jamal Khan (Bidadari Tanpa Syurga) manakala skripnya nukilan Liza Nur. Turut memeriahkan barisan pelakon ialah Haidar Hasanudin dan Syad Mutalib. Emosi drama ini diperkukuhkan lagi dengan lagu tema khas berjudul Cinta Terlarang nyanyian Khai Bahar.

Penonton boleh strim Wali Dalam Tangisan menerusi aplikasi Viu atau laman web www.viu.com, serta menikmati akses gabungan Viu dan iQIYI International bermula serendah RM19.90 sebulan.