TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Gegaran Sukan Tempur di Empire City: BSP Grand Prix Muaythai 2026 Himpunkan 288 Atlet dan Bawa Ikon Dunia Rodtang Jitmuangnon ke Malaysia

KUALA LUMPUR — Arena sukan tempur tanah air bakal menjadi tumpuan utama hujung minggu ini menerusi penganjuran BSP GRAND PRIX MUAYTHAI 2026, sebuah kejohanan berprestij anjuran BSP Muaythai Studio dengan kerjasama strategik Hallo Fight Lab. Berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 November 2026 bertempat di Hextar World @ Empire City Hall, kejohanan berskala besar itu bakal menghimpunkan seramai 288 orang atlet, merangkumi 260 peserta amatur dan 28 peserta profesional yang bakal berentap dalam keseluruhan 14 perlawanan profesional (Professional Bouts) penuh mendebarkan.

Lebih mengujakan, kejohanan ini turut menampilkan tarikan utama yang dinanti-nantikan peminat sukan tempur tempatan iaitu kehadiran Rodtang Jitmuangnon, ikon Muay Thai antarabangsa yang disegani di pentas dunia. Selain memeriahkan suasana kejohanan, pengunjung berpeluang mendekati bintang terkenal tersebut secara eksklusif menerusi sesi Meet & Greet, sekali gus menyuntik inspirasi besar buat generasi muda serta penggiat Muay Thai negara untuk terus melangkah jauh dalam sukan berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BSP Muaythai Studio, Uwais bin Abdullah, penganjuran ini merupakan platform kompetitif yang amat penting bagi mencungkil bakat tempatan, menguji kemampuan di gelanggang sebenar, serta memupuk keyakinan dan disiplin sebelum ke peringkat lebih tinggi. Pengarah Kejohanan dari Hallo Fight Lab, Mohd Hazrul Mohd Sapri, turut komited memastikan kelancaran penganjuran bagi memberikan pengalaman terbaik kepada atlet dan penonton. Orang ramai boleh mendapatkan Tiket Harian pada harga RM35 (dewasa) dan RM20 (kanak-kanak), manakala Combo Pass dua hari ditawarkan pada harga RM60 (dewasa) dan RM30 (kanak-kanak).