Penglibatan Media Prima Berhad Sebagai Rakan Media Serantau
Yogyakarta kembali menjadi tumpuan industri filem serantau menerusi penganjuran edisi ketiga JAFF Market 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 November 2026 di Jogja Expo Center (JEC). Dikuasakan oleh Amar Bank, acara berprestij ini terus memantapkan kedudukannya sebagai platform strategik untuk memacu karya dan harta intelek (IP) pembikin filem Asia ke pentas global. Lebih menarik, penganjuran kali ini bertambah meriah dengan penglibatan Media Prima Berhad sebagai Rakan Media Serantau (Regional Media Partner), sekali gus membuka ruang pendedahan yang lebih luas buat bakat tempatan serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam peta kandungan kreatif Asia Pasifik.

Peluang Penggiat Filem Tempatan Menerusi JAFF Market 2026
Bagi penggiat filem tempatan, JAFF Market 2026 menawarkan peluang keemasan menerusi dua program teras utamanya iaitu JAFF Future Project (JFP) dan JAFF IP Connection (JIPCon). Melalui JFP, sebanyak 11 projek filem terpilih di pelbagai peringkat pembangunan termasuk pembabitan pengarah tersohor seperti Boo Junfeng, M. Raihan Halim, dan Sidharta Tata dipertemukan dengan rakan kongsi pembiayaan serta pengedaran antarabangsa. Sementara itu, JIPCon mengetengahkan 10 Harta Intelek (IP) berpotensi untuk diadaptasi ke skrin menerusi kerjasama bersama pasaran antarabangsa terkemuka seperti Asian Contents Film Market (ACFM).
Program Sulung Producers Exchange dan Kerjasama Produksi Bersama
Menyerikan lagi edisi tahun ini adalah pengenalan program sulung Producers Exchange yang menghimpunkan 14 penerbit berwibawa dari pelbagai negara untuk menjalin padanan perniagaan secara langsung. Malaysia diwakili oleh penerbit Wong Kew Soon, bersama barisan penerbit dari Australia, Filipina, Korea Selatan, Singapura, Taiwan, dan banyak lagi. Menurut Pengarah Pasaran JAFF Market, Linda Gozali, inisiatif ini bermatlamat merintis kerjasama jangka panjang yang membolehkan penggiat filem tempatan meneroka peluang produksi bersama (co-production), memasarkan katalog kandungan, serta menjana pembiayaan antarabangsa. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi JAFF Market.













