Penyanyi berbakat besar Soma, kembali mencuri tumpuan industri muzik tanah air apabila secara rasmi melancarkan single ketiga beliau yang amat dinantikan berjudul “NPD”. Majlis pelancaran yang berlangsung meriah di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur ini turut menampilkan sisi serius penyanyi tersebut dalam memperjuangkan isu kesihatan mental di Malaysia.
Lagu “NPD” ciptaan komposer berkaliber Belle Fatah dengan lirik tulisan Soma sendiri mengetengahkan isu sensitif mengenai gangguan personaliti narsisistik atau “Narcissistic Personality Disorder”(NPD). Menurut Soma, karya ini bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya sebuah naskhah kesedaran yang menawarkan nasihat, sokongan moral serta panduan mengatasi kemelut psikologi tersebut demi membina masyarakat yang lebih sihat dan penuh empati.
Majlis pelancaran pada petang itu turut diserikan dengan persembahan “live” bertenaga oleh Soma yang menyampaikan empat buah lagu daripada album “Perjalanan”. Lebih istimewa, persembahan tersebut diiringi oleh barisan pemuzik legenda dan elit tanah air termasuk Man Keedal (Gitar Utama), Ujang (Gitar Kedua), Eddie (Bass), Adam Maulana (Drum) dan Belle Fatah sendiri pada piano.
Kehadiran tokoh-tokoh penting industri seni seperti Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Khadijah Ibrahim, Presidennya Datuk Freddie Fernandez serta Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia, Datuk Nor Hasnal Bin Hashmi, turut memperlihatkan sokongan padu terhadap karya berkualiti tinggi ini. Single “NPD” menyusuli kejayaan dua single terdahulu iaitu “Aku Tetap Raya” dan “Bila Tahmid Bergema”, sekaligus melengkapkan portfolio seni beliau yang turut merakamkan kenangan indah menerusi kolaborasi terakhir bersama maestro Allahyarham Datuk S. Atan.
Single “NPD” kini sudah boleh mula didengari di semua platform penstriman digital utama seperti YouTube, Spotify dan Apple Music bermula hari ini.














