TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Program Kenduri Rakyat MADANI Kukuhkan Perpaduan Akar Umbi di Serian, Sarawak

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) terus memperkukuh perpaduan nasional apabila menganjurkan Program Kenduri Rakyat MADANI Tahun 2026 Bahagian Serian, Sarawak. Majlis perasmian yang diadakan di Dewan Serian itu telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Dato Sri Aaron Ago Dagang dengan mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat setempat.

Pada tahun ini, pihak Kerajaan telah memperkenalkan dua inisiatif penting iaitu Program Kenduri Rakyat MADANI dan Program MADANI Kita. Kedua-dua program ini dirangka sebagai pendekatan strategik untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat serta memperkukuh keharmonian di peringkat akar umbi. Program Kenduri Rakyat MADANI mengangkat tradisi kenduri sebagai medium penyatuan masyarakat tanpa mengira batasan kaum, agama dan latar belakang budaya.

Sementara itu, Program MADANI Kita pula berfungsi memperluas jangkauan perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada komuniti setempat. Secara keseluruhannya, JPNIN telah diamanahkan sebagai penyelaras bagi pelaksanaan kedua-dua program utama ini di 14 lokasi terpilih di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Dalam ucapannya, YB Dato Sri Aaron Ago Dagang melahirkan harapan agar setiap program yang dilaksana dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Ia penting bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, pemimpin komuniti dan rakyat, di samping memastikan penyampaian perkhidmatan awam menjadi lebih mudah diakses. Beliau turut menekankan kepentingan pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai wadah utama mengeratkan perpaduan.

Menariknya lagi, kerajaan turut mengumumkan berita gembira apabila Geran KRT Aktif akan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 setahun bermula tahun 2027. Kenaikan peruntukan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan KRT terus berdaya maju, aktif dan responsif dalam memenuhi keperluan komuniti masa kini.