Penyanyi berkaliber, Ernie Zakri, kembali menggegarkan persada seni tanah air dengan pelancaran album studio terbaharunya yang diberi judul ATMA. Mengambil perkataan yang membawa maksud “jiwa”, album ini merangkumi tujuh trek yang meneroka pelbagai sisi emosi manusia daripada rasa cinta dan kerinduan sehinggalah luka, kemarahan serta kekuatan untuk bangkit semula.
Menurut Ernie, pemilihan judul tersebut mencerminkan segala elemen yang membentuk peribadi seseorang, termasuklah perasaan dan pengalaman yang jarang kelihatan di mata kasar. Pendekatan ini diterjemahkan menerusi penulisan lirik yang jujur, susunan muzik yang berkonsep serta visual yang saling melengkapi. Berbeza dengan album terdahulunya iaitu AURA, ATMA mengambil pendekatan yang lebih mendalam.
Album ini dimulakan dengan pengenalan lagu, diikuti lima trek penuh yang membawa isi emosi utama, sebelum dinoktahkan dengan lagu penutup bertajuk Finito. Susunan ini sengaja direka bagi membina kesinambungan cerita yang membawa pendengar melalui peralihan suasana emosi daripada detik yang lebih tegas kepada rasa yang lebih tenang.

Dari sudut persembahan vokal, Ernie mengakui ATMA menuntut penghayatan yang sangat berbeza dan jujur agar setiap lagu mempunyai karakter tersendiri. Walaupun sarat dengan penceritaan yang mendalam, karya ini bukanlah sebuah diari peribadi, sebaliknya gabungan pengalaman, pemerhatian, empati serta imaginasi yang dekat dengan kehidupan seharian kita..
Sebelum pelancaran rasminya pada 23 Oktober 2026, Ernie turut mengadakan majlis pendengaran eksklusif (Intimate Pre-Album Listening Party) pada 15 Oktober lalu bagi membolehkan peminat merasai sendiri aura awal album ini. ATMA kini sudah boleh mula didengarkan di semua platform penstriman digital utama negara. Ernie berharap agar karya ini tidak berhenti sekadar sebagai sebuah album, sebaliknya terus hidup dan memberi inspirasi kepada semua pendengar.












