Kumpulan muzik ikonik Malaysia, KRU, bakal melebarkan legasi mereka menerusi pembukaan KRU Café, sebuah konsep kafe bertemakan muzik dan hiburan yang dijadualkan beroperasi di Aneka Walk, Shah Alam pada suku ketiga 2026.
Projek ini direalisasikan menerusi kerjasama Sony Music Malaysia, Babah Ventures Sdn Bhd (BBV) dan TMG Ventures Sdn Bhd (TMGV) bagi menawarkan pengalaman menjamu selera yang menggabungkan muzik, nostalgia serta hiburan dalam satu lokasi.
Idea penubuhan KRU Café tercetus susulan sambutan luar biasa peminat terhadap KRU, termasuk kejayaan menjual habis lima konsert utama di Malaysia dan Singapura. Populariti lagu-lagu mereka yang kembali mendapat perhatian di platform penstriman turut membuktikan pengaruh kumpulan itu masih kukuh.
Menurut Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Kenny Ong, KRU Café bertujuan memperluas hubungan kumpulan tersebut dengan peminat menerusi pengalaman gaya hidup yang lebih interaktif.

Dari segi makanan dan minuman, TMGV akan bertanggungjawab membangunkan menu yang menggabungkan cita rasa Asia Tenggara dengan pilihan hidangan Barat, termasuk sajian panggang premium dan stik.
Sementara itu, Babah Ventures yang mengendalikan jenama Bumbu Babah akan menyumbang kepakaran dalam operasi dan pengembangan perniagaan restoran.
Selain menikmati hidangan, pengunjung turut boleh menjangkakan persembahan muzik, aktiviti komuniti serta pengalaman interaktif yang meraikan perjalanan seni KRU.
Cawangan pertama KRU Café bakal beroperasi di Aneka Walk, sebuah pembangunan gaya hidup oleh PKNS yang mengetengahkan makanan, budaya, hiburan dan aktiviti komuniti.











