Selepas hampir 11 tahun membina nama dan mengukuhkan kedudukan sebagai kumpulan pop rock terkemuka tanah air, Insomniacks akhirnya melangkah ke satu fasa baharu yang cukup bermakna menerusi pelancaran album sulung mereka, KAMI INSOMNIACKS, pada 30 Oktober 2026.
Album yang memuatkan 12 buah lagu ini mengangkat pelbagai tema yang dekat di hati peminat seperti kisah cinta, persahabatan, kekeluargaan, pengembaraan serta perkembangan diri. Lebih menarik, album ini turut menyaksikan kolaborasi istimewa bersama barisan komposer dan penyanyi hebat tempatan seperti Aziz Harun, XONE, Hael Husaini dan Irfan Haris. Gabungan ini membuka ruang buat Insomniacks untuk bereksperimen dengan dimensi bunyi yang lebih segar tanpa menghilangkan identiti asal mereka.
Sebelum pelancaran rasmi, kumpulan yang popular menerusi pelbagai lagu hits ini telah memulakan langkah menerusi jelajah pra-album merentasi tiga kota utama. Bermula di George Town, Pulau Pinang pada 19 September, diikuti Skudai, Johor Bahru pada 3 Oktober ini. Jelajah berkenaan mendapat sambutan luar biasa apabila tiket habis dijual dan ribuan peminat hadir memberikan sokongan padu.
Kemuncak jelajah pra-album ini dijadualkan berlangsung di ODEON KL pada 31 Oktober 2026, sehari selepas album rasmi dipasarkan. Showcase eksklusif ini bakal menyaksikan Insomniacks mempersembahkan 14 lagu termasuk keseluruhan 12 trek daripada album baharu di hadapan kira-kira 1,500 peminat setia.



Bagi memeriahkan lagi suasana, pelbagai barangan rasmi eksklusif seperti “beg messenger”, tali rantai kunci dan “iron-on patch ” turut dijual di lokasi acara. Jelajah ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk OPPO selaku penaja utama, ERA sebagai rakan radio, Gallant Guard Services sebagai rakan logistik serta minuman cuka epal Surya. Tiket kemasukan umum boleh didapati secara terhad menerusi platform Uberticket.













