Kempen Kesedaran Kanser Payudara NONA Pickleball Pinktober Smash
Menggabungkan semangat kesukanan dengan mesej kesihatan yang mendalam, penganjuran NONA Pickleball Pinktober Smash 2026 telah melabuhkan tirainya dengan jayanya di Brio Social Club, IPC Shopping Centre, Mutiara Damansara. Acara penuh bertenaga ini menjadi kemuncak kepada kempen NONA Pinktober 2026 sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, dibawakan khas oleh majalah NONA dengan kerjasama platform digital seeNI. Berpaksikan tema “Setiap Smash Membawa Harapan”, inisiatif ini berjaya menyatukan aktiviti fizikal, amalan gaya hidup sihat serta tanda sokongan padu terhadap wanita yang sedang cekal berjuang melawan kanser payudara.

Sepanjang kejohanan berlangsung, suasana disemarakkan dengan kehadiran peserta dan tetamu yang mengenakan busana bertemakan pink sporty casual. Melalui platform sukan yang kian digemari ramai ini, NONA menterjemahkan usaha advokasi kepada tindakan nyata yang mendekati masyarakat, sekali gus membuka ruang perbincangan santai mengenai kepentingan pengesanan awal kanser payudara. Acara ini secara langsung mengingatkan orang ramai bahawa penjagaan kesihatan kendiri, kepekaan terhadap sebarang perubahan fizikal pada tubuh dan tindakan segera mendapatkan pemeriksaan doktor tidak wajar ditangguhkan.
Sumbangan Amal Dan Sokongan Selebriti Tempatan
Istimewanya, kejohanan ini digerakkan sepenuhnya atas dasar kebajikan apabila 100 peratus dana kemenangan disalurkan terus kepada rakan amal atau hospital yang diwakili oleh setiap pasangan beregu. Sebanyak RM5,000 telah disumbangkan bagi pihak juara, RM3,000 untuk naib juara, RM2,000 buat tempat ketiga, manakala lima hadiah saguhati bernilai RM500 setiap satu turut diagihkan kepada badan kebajikan terpilih. Para pemain turut menerima cenderahati eksklusif sumbangan penaja bersama, LARRIE dan TOUJOURS.
Gelanggang NONA Pickleball Pinktober Smash 2026 bertambah meriah dengan kehadiran barisan personaliti popular seperti Yasmin Hani, Sazzy Falak, Daphne Iking, Nadia Annuar, Dayah Bakar, Dahlia Rizal, dan atlet boling negara Syaidatul Afifah, bersama hos Fiza Frizzy yang menghidupkan suasana. Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran penyanyi dan pejuang kanser payudara tahap tiga, Nas Adila, yang berkongsi inspirasi ketabahan, di samping penampilan istimewa Miss Universe Malaysia 2026, Eunice Wong, bersama Pengarah Kebangsaan Miss Universe Malaysia, Ayu Omar. Kejayaan acara ini membuktikan bahawa kesedaran bukan sekadar memakai reben merah jambu, sebaliknya menuntut keberanian untuk bertindak, memeriksa kesihatan dan saling menyokong antara satu sama lain.














