TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Kukuh aliran tunai berulang: Citaglobal meterai pengambilalihan loji hidroelektrik bernilai RM14.5 juta.

KUALA LUMPUR – Syarikat konglomerat terkemuka, Citaglobal Berhad “Citaglobal” atau “Kumpulan Citaglobal”, mengorak langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan dalam sektor tenaga hijau menerusi pengumuman bahawa anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd “CGRESB”, telah memeterai perjanjian tambahan bagi cadangan pengambilalihan 70 peratus kepentingan ekuiti dalam Zeqna Corporation Sdn Bhd “Zeqna”.

Zeqna merupakan pemilik serta pengendali sah bagi loji hidroelektrik Slim berkapasiti 6MW yang terletak di Perak. Perjanjian tambahan ini menyaksikan penyelarasan harga pengambilalihan yang disemak turun daripada nilai asal RM15 juta kepada RM14.5 juta.

Di bawah struktur pembayaran terbaharu yang dipersetujui, pihak CGRESB telah menyelesaikan pembayaran pendahuluan berjumlah RM4 juta, manakala baki baki pertimbangan pembelian bernilai RM10.5 juta dijadualkan untuk dijelaskan sepenuhnya selewat-lewatnya pada 29 Oktober 2026. Penstrukturan semula harga ini memberikan kecekapan modal yang lebih optimum kepada Kumpulan dalam usaha mengembangkan portfolio aset penjanaan tenaga bersih mereka di pasaran domestik.

Sebaik sahaja transaksi ini disempurnakan kelak, pengambilalihan berkenaan akan memberikan Citaglobal penguasaan operasi penuh terhadap sebuah fasiliti penjanaan elektrik yang telah pun beroperasi secara komersial dan terbukti menjana aliran tunai stabil. Kehadiran Perjanjian Pembelian Tenaga Boleh Baharu (REPPA) jangka panjang yang dimeterai bersama utiliti nasional, Tenaga Nasional Berhad (TNB), bagi loji hidroelektrik Slim ini bakal menjadi tunjang utama dalam menyokong aspirasi Citaglobal untuk membina asas pendapatan berulang (recurring income) yang mampan dan berdaya tahan daripada jualan elektrik bersih secara konsisten.

Langkah pelaburan di Slim ini turut melengkapi strategi pertumbuhan Kumpulan Citaglobal yang sebelum ini mencadangkan pengambilalihan 70 peratus kepentingan ekuiti dalam Koridor Mentari Sdn Bhd, sebuah entiti yang kini sedang giat membangunkan projek loji hidroelektrik Kampar berkapasiti 6MW di Perak. Gabungan kedua-dua inisiatif pengambilalihan berprofil tinggi ini bakal memperluas skala portfolio Tenaga Boleh Baharu (TBB) Citaglobal secara agresif. Ia bukan sahaja merangkumi loji sedia beroperasi yang memberikan sumbangan kewangan serta-merta di Slim, malah menyediakan laluan pertumbuhan kapasiti masa hadapan melalui projek yang sedang dibangunkan di Kampar, sekali gus mempercepat agenda peralihan tenaga negara.