TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

LahLahLand 2026 Kembali ke MIECC: Raikan Kepelbagaian Budaya Jalanan Tempatan

Poster rasmi festival gaya hidup LahLahLand 2026 memaparkan senarai zon aktiviti, artis Concertlah dan jenama tempatan di MIECC

Festival gaya hidup dan budaya jalanan terbesar negara, LahLahLand kembali lagi untuk edisi 2026 dengan pengisian yang jauh lebih besar dan meriah. Bertempat di MINES International Exhibition & Convention Centre (MIECC) pada 10 dan 11 Oktober ini, acara dwi-tahunan yang diasaskan daripada legasi Sneakerlah bakal menghimpunkan pelbagai subbudaya anak muda di bawah satu bumbung.

Daya tarikan utama edisi kali ini sudah tentu tertumpu kepada pelancaran kasut kolaborasi eksklusif Sneakerlah bersama ASICS GEL-KAYANO 20 bertemakan “Ais Kacang”. Selepas kejayaan edisi Nasi Lemak, KLCC, Teh Tarik dan Mamee, rekaan berinspirasikan pencuci mulut ikonik rakyat Malaysia ini dijangka menjadi buruan hangat para pengumpul kasut tegar.

Komuniti anak muda dan peminat kasut membuat gaya tangan hip hop beramai-ramai di ruang pameran festival LahLahLand MIECC

Selain sneakers, festival ini turut membawakan zon hiburan Concertlah yang menghimpunkan nama-nama hebat seperti kumpulan rock indie Hujan, bintang rap MidLyfe Dannqrack & Eemrun, Sweetass, Kidd Santhe serta barisan DJ tempatan yang bakal menggegarkan pentas sepanjang dua hari. Buat penggemar makanan, zon Makanlah dikuasakan oleh Grab Dine Out menawarkan pelbagai pilihan menu popular seperti Banglo 289, myBurgerLab, dan HWC Coffee dengan tawaran diskaun menarik.

Bukan sekadar kasut dan muzik, pelbagai zon aktiviti menarik turut menanti pengunjung. Antaranya termasuk kejohanan e-sukan Tekken 8 di Esportslah, aksi papan selaju di Skatelah serta pameran jam tangan di Watcheslah. Peminat kad dagangan juga boleh berkumpul di Cardslah, manakala peminat sukan boleh menyaksikan kelab-kelab larian handal berentap di Larilah. Bagi yang ingin membeli-belah, ruang jualan kelihatan lebih meriah menerusi kolaborasi pasar gaya hidup SantaiMaa serta deretan jenama tempatan popular seperti AGAINST LAB, TNTCO dan Futuremade Studio.

Bagi yang berhasrat untuk hadir di festinval LahLahLand, pintu festival ini dibuka dari jam 12:00 tengah hari hingga 10:00 malam, manakala pemegang tiket VIP berpeluang masuk seawal jam 10:00 pagi beserta cenderahati eksklusif seperti botol air Montigo dan stoking edisi terhad. Tiket prajualan boleh didapati pada harga RM30 untuk kemasukan am dan RM100 untuk pas VIP menerusi laman rasmi acara.

Jumpa anda di sana pada hujung minggu ini. Jom beramah mesra sambil meraikan kebersamaan komuniti kita!