TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

14,000 Suara Bergema, Konsert Wali Band Cipta Momen Luar Biasa Penuh Magis

Persembahan langsung kumpulan Wali Band mendendangkan lagu di hadapan penonton konsert di Johor Bahru

Kejutan terbesar malam tersebut berlaku ketika segmen Wali Band membawakan lagu hit “Yank”. Najwa Latif muncul di pentas secara spontan tanpa sebarang sesi latihan terdahulu.

Kolaborasi mengejut itu membuahkan magis tersendiri apabila paduan vokal lembut Najwa dan lontaran vokal Faank bersatu dengan cukup harmoni. Gandingan dua nama besar yang sama-sama mencipta nama sekitar era 2008 dan 2011 ini menjadi antara momen paling manis yang dirakam sepanjang konsert berlangsung.

Penyanyi kelahiran Batu Pahat, Najwa Latif, mencuri perhatian ramai apabila tampil sebagai artis pembuka tirai bagi Konsert Wali Band Live in JB. Walaupun kini lebih menumpukan kerjayanya sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan, vokal merdu dan gaya santai Najwa membuktikan bakat nyanyiannya masih kekal utuh. Beraksi di negeri kelahirannya sendiri memberikan makna peribadi yang cukup mendalam buat pelantun suara bersahaja ini.

Skrin utama pentas Konsert Wali Band Live in JB di Educity Sports Complex disinari lampu pentas ungu

Najwa mendendangkan tujuh lagu popularnya, bermula dengan lagu berunsur ketuhanan, “AdaMu”. Nostalgia era awal 2010-an terus dihidupkan menerusi lagu “Carta Hati”, “Satu Hari Nanti”, “Kosong”, dan “Sahabat”. Suasana bertukar intim apabila Najwa menyampaikan lagu “Untuk Dia” secara akustik tanpa iringan muzik sebelum menutup segmen solonya menerusi trek fenomena, “Cinta Muka Buku”. Sambutan hangat penonton yang menyanyi bersama memperlihatkan kerinduan peminat terhadap karya-karyanya, malah ada yang melaungkan permintaan agar beliau mengadakan konsert solo kelak.