Hael Husaini & Aisha Retno Dominasi AMT2026 Dengan Lima Pencalonan Masing-Masing

Hael Husaini dan Aisha Retno muncul antara nama paling menonjol dalam senarai pencalonan Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026) apabila kedua-duanya menerima lima pencalonan dalam pelbagai kategori.

Hael Husaini tercalon dalam kategori Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat, Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO, Selebriti Stailo Terhangat serta Selebriti Chemistry Terhangat, menerusi gandingannya bersama Dayang Nurfaizah.

Sementara itu, Aisha Retno turut meraih lima pencalonan menerusi kategori Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat dan Selebriti Viral Terhangat. Aisha turut menerima dua pencalonan dalam kategori Lagu Terhangat menerusi lagu Jodoh Lebaran serta Kota Ini Tak Sama Tanpamu, yang merupakan hasil kolaborasinya bersama Nadhif Basalamah dan Aziz Harun.

Pencalonan tersebut memperlihatkan pengaruh kedua-dua penyanyi dalam pelbagai aspek industri hiburan, termasuk muzik, populariti, gaya serta karya kolaborasi.

Kedua-duanya turut membawa momentum daripada pencapaian di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40). Hael sebelum ini dinobatkan sebagai Ikon AJL40, manakala Aisha Retno meraih tempat kedua dalam AJL40.

Dengan lima pencalonan setiap seorang, Hael dan Aisha kini antara nama yang menjadi perhatian menjelang kemuncak AMT2026, yang bakal menentukan penerima trofi bagi setiap kategori dipertandingkan.

Anugerah Melodi Terhangat 2026 akan berlangsung pada 18 Oktober 2026, Ahad, jam 9.00 malam, secara langsung menerusi TV3 dan Tonton.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai AMT2026 melalui laman media sosial rasmi TV3Malaysia dan MelodiTerhangat di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok.