DAEM Gabungkan AI dan ERP Untuk Revolusikan Tempahan Daging

DAEM Sdn Bhd terus memperkukuh usaha pendigitalan industri daging menerusi pelancaran IMAN (Integrated Management Autonomous Network), sebuah sistem tempahan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang diperkenalkan sempena MAHA 2026 di MAEPS, Serdang.

Pelancaran sistem berkenaan disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, pada 5 September. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, YBhg. Datuk Dr. Mohd Noor Hisham bin Mohd Haron.

IMAN direka untuk memudahkan pelanggan mendapatkan produk daging DAEM secara terus melalui WhatsApp. Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR sebelum memilih produk, membuat tempahan dan menyelesaikan pembayaran tanpa perlu memuat turun aplikasi khusus.

Sistem tersebut turut disokong oleh Odoo Enterprise Resource Planning (ERP), yang menghubungkan maklumat produk, inventori, pesanan dan operasi syarikat.

Menurut pengasas bersama DAEM, Alif Satar, pendekatan tersebut dibangunkan bagi menjadikan proses pembelian daging lebih mudah dan mesra pengguna.

“Kita mahu mudahkan pelanggan. Tak perlu aplikasi baharu atau proses yang rumit – WhatsApp sahaja, pilih produk, tempah dan bayar,” katanya.

Pelancaran IMAN merupakan fasa kedua dalam pelan pembangunan lima fasa DAEM untuk membentuk ekosistem farm-to-table yang lebih terjamin, mampan dan boleh dijejaki.

Langkah pertama bermula pada Ogos 2024 menerusi DAEM Meat Nomads, iaitu konsep trak daging bergerak yang membawa produk halal terus kepada pengguna.

Kini, konsep Direct Access to Exceptional Meats diperluaskan ke ruang digital melalui IMAN.

Selain memudahkan pembelian, sistem itu membolehkan DAEM mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai corak permintaan pelanggan. Data berkaitan jualan, inventori, gudang dan pemenuhan pesanan boleh digunakan untuk membantu syarikat merancang bekalan dengan lebih berkesan.

DAEM turut menyasarkan penghantaran pada hari berikutnya bagi kawasan yang berada dalam liputan perkhidmatannya, dengan penggunaan sistem pembungkusan rantaian sejuk.

Pada masa akan datang, IMAN dirancang untuk disepadukan dengan penyedia logistik pihak ketiga melalui API bagi meningkatkan automasi penghantaran dan penjejakan pesanan.

Dalam aspek bekalan ternakan pula, DAEM sedang mengambil langkah untuk mempelbagaikan sumber bekalan, bermula dengan kambing sebelum diperluaskan kepada lembu apabila kapasiti dan infrastruktur syarikat berkembang.

Syarikat turut memaklumkan bahawa sebuah pusat kuarantin ternakan di Pasir Mas, Kelantan, yang akan menyokong kemasukan awal kambing dari Thailand telah menerima kelulusan berkaitan.

Usaha tersebut menjadi sebahagian daripada strategi lebih besar DAEM untuk membina sumber bekalan yang lebih pelbagai, di samping membangunkan keupayaan penternakan dan pembiakan tempatan secara mampan.

Dengan pengenalan IMAN, DAEM kini memasuki fasa baharu yang menggabungkan AI, ERP, data, logistik dan rantaian bekalan bagi menghubungkan sumber ternakan dengan pengguna dalam satu ekosistem yang lebih tersusun.