AurumLX Sasar Budaya “Satu Keluarga Satu Gram Emas” Dalam Kalangan Rakyat Malaysia

SHAH ALAM – Aurum79 Sdn. Bhd. menerusi jenama AurumLX mahu menjadikan pemilikan emas sebagai satu budaya dalam kalangan rakyat Malaysia dengan membawa aspirasi “satu keluarga satu gram emas”. Inisiatif itu dilihat sebagai langkah permulaan untuk membantu lebih ramai rakyat membina simpanan jangka panjang secara konsisten sehingga mampu memiliki satu kilogram (kg) emas pada masa depan.

Pengarah Eksekutif AurumLX, Muhamad Afif Mohamad berkata, objektif utama syarikat bukan sekadar menggalakkan orang ramai membeli emas, sebaliknya membentuk tabiat menyimpan aset yang mempunyai nilai tinggi mengikut kemampuan masing-masing.

Menurutnya, sesiapa sahaja kini boleh mula memiliki emas tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar kerana simpanan boleh dimulakan serendah RM10 sebelum ditambah sedikit demi sedikit.

“Kami mahu setiap keluarga sekurang-kurangnya memiliki satu gram emas sebagai permulaan. Jika dilakukan secara konsisten, impian untuk mengumpul sehingga satu kilogram emas pada masa akan datang bukan lagi sesuatu yang sukar dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengiktirafan Syariah dan Penyerahan Sijil Kecekapan Pematuhan Pengukuran Ketulenan Emas oleh National Metrology Institute of Malaysia (NMIM) di Shah Alam pada hari ini.

Turut hadir, Penasihat Syariah Aurum79 Sdn. Bhd., Dr. Mohd Shahid Mohd Noh.

Afif menjelaskan, bagi merealisasikan hasrat tersebut, AurumLX membangunkan platform digital yang membolehkan pelanggan membeli, menyimpan dan mengurus emas fizikal dengan lebih mudah pada bila-bila masa.

Katanya, syarikat juga memberi perhatian serius terhadap aspek kualiti dan ketulenan emas dengan menjalinkan kerjasama bersama NMIM bagi meningkatkan keupayaan dalam proses pengesahan ketulenan emas.

“Kami mahu pelanggan benar-benar yakin dengan produk yang ditawarkan. Sebab itu kami sentiasa memastikan setiap emas yang dijual memenuhi standard yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan AurumLX bekerjasama dengan SIRIM bagi memastikan setiap gram emas mematuhi piawaian dari segi berat dan mutu, selain merancang menubuhkan makmal pengujian emas sendiri pada masa depan.

Dalam masa sama, katanya, pendidikan kepada pengguna juga menjadi keutamaan supaya orang ramai lebih memahami konsep pemilikan emas dan tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang meragukan.

“Kalau ada pihak yang menjanjikan keuntungan tanpa risiko atau memberi jaminan 100 peratus, itu sepatutnya menjadi amaran awal. Orang ramai perlu lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.