“ONE ON ONE” Gambarkan Evolusi Muzik Ismail Izzani Selepas Bertahun Dalam Industri

Selepas beberapa tahun meneroka pelbagai warna muzik dan terus mengukuhkan namanya dalam industri hiburan tempatan, penyanyi serta penulis lagu Ismail Izzani kini membuka lembaran baharu menerusi single terbaharunya berjudul “ONE ON ONE”. Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, lagu ini merupakan hasil ciptaan dan terbitan ALYPH yang menjadi langkah pertama menuju pelancaran album penuh Ismail yang dijangka menemui peminat pada tahun ini.

Mengangkat tema cinta yang sederhana tetapi penuh makna, “ONE ON ONE” mengisahkan tentang keinginan seseorang untuk meluangkan masa bersama insan tersayang tanpa gangguan dunia luar. Lagu ini menggambarkan detik istimewa apabila dua insan dapat berkongsi ruang, masa dan perasaan dalam suasana yang lebih dekat serta bermakna.

Menurut Ismail, lagu tersebut membawa mesej yang mudah difahami kerana ia berkisar tentang seseorang yang benar-benar dihargai dalam hidupnya.

“Lagu ini sangat straightforward. Ia tentang seseorang yang kita benar-benar sayang dan bagaimana kita hanya mahu meluangkan masa bersamanya, walaupun hanya untuk seketika. Bila bersama orang itu, rasa macam dunia berhenti sekejap dan hanya tinggal kita berdua,” katanya.

Single ini turut memperlihatkan kerjasama semula antara Ismail Izzani dan ALYPH selepas beberapa karya terdahulu yang mendapat sambutan daripada peminat. Namun, menurut Ismail, proses menghasilkan “ONE ON ONE” kali ini lebih istimewa kerana mereka mempunyai lebih banyak masa untuk membina idea serta menghasilkan lagu secara lebih semula jadi.

Jelas Ismail, hubungan rapat yang terjalin bersama ALYPH bukan sahaja tertumpu kepada muzik, malah turut melibatkan perkongsian cerita mengenai kehidupan dan pengalaman peribadi. Hubungan tersebut membantu mereka menghasilkan sebuah karya yang lebih jujur serta dekat dengan jiwa penyanyi berusia 26 tahun itu.

“Setiap kali masuk studio dengan ALYPH, kami bukan hanya berbual tentang muzik. Kami banyak berkongsi cerita tentang kehidupan dan perkara-perkara peribadi. Hubungan yang rapat itu menjadikan proses menghasilkan lagu lebih mudah dan jujur,” ujarnya.

Walaupun ada peminat yang melihat “ONE ON ONE” membawa kembali aura lagu-lagu awal Ismail seperti “Bidadari”, penyanyi itu menjelaskan bahawa fokus utamanya bukanlah untuk mengulangi kejayaan terdahulu. Sebaliknya, lagu ini menjadi gambaran kepada perkembangan dan kematangan muziknya selepas melalui pelbagai pengalaman dalam industri.

Bagi Ismail, setiap lagu mempunyai cerita serta identiti tersendiri. “ONE ON ONE” menjadi permulaan kepada fasa baharu dalam perjalanan seninya dan memberi gambaran tentang arah muzik yang bakal diteruskan menerusi album penuh yang sedang disiapkan.

Menurutnya lagi, single ini mempunyai nilai sentimental kerana ia merupakan lagu pertama yang dipilih untuk dimuatkan dalam album baharunya. Berbeza daripada beberapa karya terdahulu, lagu ini menjadi titik permulaan kepada sebuah projek besar yang telah lama dirancang bersama pasukannya.

Dengan semangat baharu dan kematangan yang semakin berkembang, Ismail berharap peminat dapat menerima evolusi muzik yang cuba diketengahkan menerusi karya terbaharunya. Beliau turut meminta peminat untuk terus memberikan sokongan sementara beliau dan pasukannya menyiapkan album penuh yang bakal hadir tidak lama lagi.

“Saya harap semua orang boleh rasa vibe lagu ini dan menikmatinya. Saya juga harap mereka terus bersabar kerana saya dan seluruh pasukan sedang bekerja keras untuk menyiapkan album ini. Insya-Allah, banyak perkara menarik sedang menanti,” katanya.

Single “ONE ON ONE” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.