Industri filem tempatan sekali lagi dikejutkan dengan kebangkitan luar biasa naskhah seram terbaharu, Khadam, yang kini secara rasmi dinobatkan sebagai filem tempatan nombor satu di Malaysia. Baru sahaja membuka tirai tayangannya, filem yang penuh debaran dan seram ini telah berjaya mengumpul kutipan pecah panggung sebanyak RM1.2 juta, sekali gus mencatatkan permulaan yang amat bertenaga dan mendominasi carta pawagam seluruh negara.
Sambutan luar biasa ini membuktikan bahawa penonton tempatan sentiasa menghargai naskhah seram yang segar dan berkualiti. Malah, gelombang sokongan penonton kali ini memperlihatkan satu anjakan di mana karya lokal tidak lagi sekadar menjadi alternatif, tetapi pilihan utama yang mengungguli saingan sengit filem-filem antarabangsa yang turut ditayangkan serentak.
Sejak hari pertama ditayangkan, ruangan media sosial dibanjiri dengan pelbagai reaksi, ulasan serta pujian daripada netizen mahupun penggiat industri seni sendiri yang menyifatkan Khadam sebagai penanda aras baharu bagi filem seram Malaysia. Di platform Threads, antara komen yang mencuri perhatian termasuklah “Beautifully Crafted” oleh @nvst1, “About time to have a Malay horror movie sebagus ini” oleh @my_zurah, serta “Khadam memang gemilang bukan hanya sebagai filem Malaysia, malah filem secara umum” oleh @mohdjayzuan.
Turut menarik perhatian, komen seperti “Khadam surprised me, not because it’s scary. Horror is expected. What surprised me was how much care went into the film making itself” oleh @budicitawan, serta “Ini adalah sebuah filem yang berkualiti pembikinannya serba serbi cukup lengkap” oleh @rewanishak turut mengukuhkan lagi penerimaan positif terhadap filem ini.
Lebih membanggakan, Khadam turut mendapat pengiktirafan daripada penggiat seni tanah air. Pengarah tersohor, Erma Fatima menyifatkan filem ini sebagai “Sebuah naskhah yang cukup rasa”, manakala pelakon veteran Sofea Jane pula meluahkan rasa kagum terhadap penulisan skripnya dengan mengatakan “Rindu buat penulisan yang baik terubat dengan Khadam.”
Pihak penerbit pula menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sokongan padu penonton Malaysia yang menjadi pemangkin kepada kejayaan kutipan RM1.2 juta ini. Momentum positif ini dijangka terus meningkat menjelang hujung minggu susulan reaksi dan perkongsian yang semakin rancak dalam kalangan netizen.
Bagi pencinta filem seram, Khadam menawarkan pengalaman sinematik yang bukan sahaja mendebarkan, malah mengundang pelbagai persoalan untuk dirungkai. Penonton dijemput untuk menyaksikan sendiri misteri yang menjadi bualan ramai ini di pawagam seluruh negara.
Teruskan menyokong dan kongsikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #Khadam dan #JanganSampaiJadiTuan. Untuk perkembangan terkini, kandungan eksklusif serta aktiviti menarik berkaitan filem ini, ikuti platform media sosial rasmi Primeworks Studios dan Khadam The Movie.











