FELDA GANDING BAHU DENGAN ENCORP SEDIA RUMAH KAKITANGAN

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kini bergandik bahu dengan kumpulan pembangunan hartanah, Encorp Berhad (ENCORP) bagi melaksanakan projek reka bentuk dan pembinaan perumahan khas untuk kakitangan agensi berkenaan.

Kerjasama strategik tersebut dizahirkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Menara FELDA, baru-baru ini. Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Pengarah Besar FELDA, Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati binti Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENCORP, Encik Ahmad Harzimi bin Mohd Taib, sambil disaksikan oleh Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek serta Pengerusi ENCORP, Encik Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff.

Menerusi kolaborasi ini, ENCORP bakal dilantik sebagai kontraktor utama yang bertanggungjawab terhadap fasa reka bentuk dan pembinaan, tertakluk kepada kelulusan serta perjanjian muktamad kedua-dua pihak. Langkah ini membuktikan komitmen jitu FELDA dalam mengutamakan kebajikan warga kerjanya melalui penyediaan kediaman yang selesa, praktikal dan kondusif, sekali gus mampu menyokong kesejahteraan serta produktiviti harian kakitangan selain memperkukuh infrastruktur sosial sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENCORP, Encik Ahmad Harzimi bin Mohd Taib menyatakan bahawa pihaknya amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menyumbang kepakaran pembinaan demi pembangunan FELDA, selain menegaskan komitmen syarikat untuk menyediakan kediaman yang moden, terancang dan berkualiti tinggi.

Projek baharu ini juga merupakan kesinambungan daripada rekod prestasi cemerlang ENCORP yang sebelum ini menerusi anak syarikatnya, Encorp Development Sdn Bhd, telah berjaya menyiapkan Fasa 1 Lamanda Chuping pada tahun 2024 dengan menyediakan 224 unit kediaman kos rendah dan sederhana buat warga peneroka dan generasi FELDA, bersama 17 unit komersial.

Berbekalkan portfolio kukuh sedia ada termasuk projek Tilia Shah Alam dan perancangan fasa seterusnya bagi Lamanda Chuping, ENCORP menyasarkan untuk membawa standard piawaian yang sama tinggi ke dalam inisiatif terbaharu ini demi membina ruang kediaman terbaik untuk seluruh warga kerja FELDA.