Dato’ Adi Putra ‘Dikhianati’? Kisah Luka Di Hujung Setia Rungkis Pengorbanan Air Mata

Slot Akasia TV3 nampaknya bakal terbakar lagi dengan sebuah naskhah terbaharu yang sarat dengan air mata, dendam, dan konflik rumah tangga. Kali ini, gandingan mantap dua pelakon heavyweight tanah air, Dato’ Adi Putra dan Zara Zya, bakal merobek emosi korang menerusi drama 28 episod terbitan Country & Universal Sdn Bhd, Luka Di Hujung Setia. Menghitung hari sebelum tirai tayangan dibuka pada 2 Jun ini, drama ini menjanjikan plot rollercoaster yang bakal membuatkan korang tak senang duduk di depan TV setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam.

Cerita bermula bila si isteri, Dhia (Zara Zya) nekad berhijrah ke ibu kota demi membantu suaminya, Irsyad (Dato’ Adi Putra) yang kehilangan kerja dan tersepit dengan hutang. Niat asal memang murni nak selamatkan keluarga, tapi siapa sangka, keputusan itu sebenarnya menjadi langkah pertama ke lubang puaka! Jiwa Dhia yang kesunyian di kota metropolitan mula goyah bila hadirnya Faris (Irfan Zaini), pengurus projek yang acapkali menjadi “pembasuh air mata” ketika dia dalam kesusahan. Plot plot twit bermula bila rupa-rupanya Faris ini suami orang! Hubungan yang kononnya sekadar kawan akhirnya bertukar menjadi satu pengkhianat terbesar, sekaligus meranapkan masjid yang dibina Dhia dan Irsyad.

Bila semuanya dah hancur, Irsyad terpaksa menelan kepahitan membesarkan anak tunggal mereka, Aira, seorang diri di kampung dengan hati yang hancur berkecai. Tapi untungnya, hidup Irsyad tidaklah gelap selamanya sebab muncul pula Zulin (Cahaya Nilam) yang setia membantu menguruskan anak dan hidupnya. Adakah ini peluang kedua untuk Irsyad bahagia, atau dendam lama masih membara?

Bercakap pasal watak Irsyad, Dato’ Adi Putra mengakui watak kali ini memang sangat menguji mental sebab dia perlu bermain dengan emosi dalaman. Irsyad bukan jenis lelaki yang mengamuk atau memaki hamun bila dikhianati, tapi dia jenis yang pendam, tanggung sendiri, dan cuba pertahankan keluarga walaupun maruahnya sudah dipijak-pijak. Memang berat! Sementara itu, Zara Zya pula menyifatkan watak Dhia sebagai karakter paling kompleks yang pernah dibawanya. Katanya, Dhia bukan wanita jahat, cuma dia tersilap langkah ketika emosinya sedang rapuh. Zara juga sempat memberi “amaran” yang penonton mungkin akan emosi, marah, kecewa, dan dalam masa yang sama kesian dengan nasib Dhia nanti.

Jadi, adakah korang sudah bersedia untuk menyaksikan sebuah pengorbanan yang berakhir dengan tragedi? Jangan lupa set alarm korang bermula 2 Jun 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3. Kalau tak sabar dan nak jadi yang terawal tahu plot spoiler, korang boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton. Untuk gosip dan info terkini, pastikan korang follow media sosial @TV3Malaysia dan @dramasangat sekarang!