Cipta Sejarah! ALPHA Kumpulan M-Pop Pertama Tercalon di Music Awards Japan 2026

Kumpulan M-pop popular tanah air, ALPHA, berjaya melakar sejarah membanggakan apabila diumumkan sebagai calon bagi kategori “Best of Listeners’ Choice: International Song” di Music Awards Japan 2026. Pencalonan yang dibawakan oleh Spotify ini merupakan pengiktirafan antarabangsa pertama buat kumpulan di bawah naungan Rocketfuel Entertainment tersebut, sekali gus memartabatkan muzik Malaysia di persada global.

Lebih mengagumkan, ALPHA yang dianggotai oleh Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Araff, Ray-D dan Afiq Sky menjadi satu-satunya wakil tunggal negara yang tersenarai dalam kategori berkenaan, bersaing hebat dengan bintang ikonik dunia seperti Taylor Swift, Justin Bieber, Lady Gaga, Blackpink, TWICE, SEVENTEEN, dan Jin (BTS).

Kejayaan ini turut diperkukuhkan menerusi lagu hit mereka, “P Ramlee Saloma”, yang mencipta rekod sebagai lagu pertama ciptaan rakyat Malaysia yang berjaya melangkah ke pusingan akhir anugerah berprestij di Jepun itu. Sejak mula bertapak dalam industri, ALPHA telah membuktikan pengaruh luar biasa mereka dengan mencatat lebih 60 juta jumlah penstriman keseluruhan.

Lagu “P Ramlee Saloma” sendiri pernah mendominasi carta Spotify Malaysia Daily Top Songs di kedudukan nombor satu selama 30 hari berturut-turut, selain menduduki tangga teratas carta RIM dan memenangi dua anugerah di Gempak Most Wanted Awards.

Mengulas mengenai pencapaian luar biasa ini, Daniel Sher menyifatkan pencalonan tersebut sebagai satu detik bermakna yang membuktikan muzik tempatan mampu melangkaui sempadan geografi. Nada penuh azam turut dikongsi oleh Rizal Rasid yang menganggap pengiktirafan ini sebagai satu tanggungjawab besar untuk terus membawa nama Malaysia lebih jauh.

Dalam pada itu, Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Anand, melahirkan rasa bangga dan menyifatkan kejayaan ALPHA sebagai bukti jelas bahawa bakat tempatan mempunyai potensi besar untuk bersaing di pasaran antarabangsa hasil kerja keras dan visi muzik yang konsisten.

Sebagai pelengkap kepada momentum kejayaan ini, ALPHA dijadualkan bakal melancarkan album sulung mereka pada 15 Jun 2026. Menurut Afiq Sky, album tersebut sangat istimewa kerana ia mencerminkan identiti sebenar serta perjalanan jatuh bangun kumpulan itu sejak awal penubuhan.

Buat masa ini, tumpuan sepenuhnya diberikan kepada proses undian awam bagi Music Awards Japan 2026 yang sedang berlangsung sehingga 20 Mei ini di laman rasmi anugerah tersebut. Sokongan padu daripada peminat amat diharapkan bagi membantu ALPHA terus melakar kecemerlangan dan mengukuhkan kedudukan M-pop di mata dunia.