Nourul Umum Tarikh Baharu Konsert Sulung – 30 Mei 2026

Demi memberikan pengalaman terbaik kepada peminat dan memastikan kualiti konsert sulung yang amat bermakna selepas lebih tiga dekad dalam industri, Nourul mengumumkan penukaran tarikh konsert For You Nourul. Konsert yang sebelum ini dijadualkan pada 17 April 2026 kini akan berlangsung pada 30 Mei 2026. Dengan tarikh baharu ini, Nourul bakal bertemu dan berpesta bersama para peminat dalam suasana yang disifatkan paling sesuai oleh pihak penganjur, ND Entertainment. Penyanyi popular dengan lagu Kerana Terluka itu tetap optimis bahawa konsert solo ini akan mendapat sambutan hangat dan menjadi momen istimewa yang telah dirancang dengan rapi sejak sekian lama.

Menurut wakil ND Entertainment, pihak penganjur dan Nourul telah berbincang serta bersetuju untuk menjadualkan semula For You Nourul ke 30 Mei 2026. Keputusan ini dibuat mengambil kira beberapa faktor, termasuk memberi laluan kepada dua perayaan penting umat Islam, Aidilfitri dan Aidiladha. Selain itu, pemilihan tarikh baharu juga diyakini sesuai untuk memberi ruang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan, sekali gus menjadikan For You Nourul sebagai hari keraian khas yang lebih selesa dan meriah.

Sementara itu, Nourul atau Noorulhuda Binti Ab. Wahab, 49, menjelaskan bahawa penukaran tarikh ini turut memberi kelebihan dari segi perancangan produksi dan penyusunan barisan artis jemputan. Menurut beliau, proses perbincangan untuk mencapai kata sepakat bagi menyusun semula jadual konsert, susulan penukaran penganjur lama kepada syarikatnya sendiri, menjadi antara sebab utama tarikh ditukar kepada 30 Mei 2026.

Walaupun tarikh telah dikemas kini, peminat masih boleh mendapatkan tiket mengikut kategori yang telah ditetapkan iaitu RM198 untuk Sehati Sejiwa, RM298 untuk Cinta Azali, RM328 untuk Keliru, RM388 untuk Kerana Terluka, dan RM6,000 untuk VIP Box. Kesemua kategori tiket boleh dibeli melalui laman sesawang rasmi Ticket2U di https://www.ticket2u.com.my/.

Catatkan tarikh ini dalam kalender anda! Konsert For You Nourul akan berlangsung pada 30 Mei 2026, jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur. Bersiaplah untuk malam penuh emosi, nostalgia dan cinta — khas For You. Jangan sampai ‘Keliru’, kerana pasti akan ‘terluka’ jika terlepas temu janji ini. Janji ya, kena ‘Sehati Sejiwa’ di For You Nourul!

Informasi utama: Artis: Nourul. Acara: For You Nourul. Tarikh: 30 Mei 2026. Lokasi: Zepp Kuala Lumpur. Masa: 8 malam. Penganjur: ND Entertainment. Harga tiket: RM198 (Sehati Sejiwa), RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka), RM6,000 (VIP Box). Tiket: https://www.ticket2u.com.my/.