Raisa kembali mengubat rindu peminat apabila Raisa Ambivert Tour singgah di Zepp Kuala Lumpur, menghimpunkan kira-kira 1,500 penonton dalam sebuah malam yang sarat emosi, nostalgia dan energi pop serantau. Konsert anjuran Sembang Kari Entertainment bersama MHT Live MY dengan sokongan Juni Concert itu tampil dengan produksi audio visual yang kemas, membingkai konsep “ambivert” yang menjadi teras persembahan — ada ketika Raisa menundukkan emosi dalam balada yang syahdu, dan ada masanya beliau meledak dengan tempo bertenaga yang menghidupkan seluruh dewan.
Mewakili pihak penganjur, Sembang Kari Entertainment menyifatkan konsert ini dirangka sebagai pengalaman yang lebih peribadi buat peminat di Malaysia. Persembahan tersebut bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi ruang untuk penonton benar-benar merasai setiap lagu bersama Raisa dalam suasana yang lebih dekat dan intim.
Seawal kemunculan, Zepp Kuala Lumpur terus dibuai dengan rangkaian lagu yang dekat di hati peminat seperti “Semua Di Sini”, “It’s OK 2 Not B OK”, “Pengganti Aku” dan “Berpindah Hati”. Antara momen paling hening namun kuat impaknya ialah persembahan a cappella “I’ll Be Waiting” yang membuatkan dewan seakan terhenti seketika sebelum kembali dipacu dengan energi menerusi “Si Paling Mahir”, sekali gus mengundang sorakan panjang daripada penonton.

Kehadiran Barsena Bestandhi menambah warna kepada malam tersebut apabila beliau berkongsi pentas bersama Raisa dalam segmen duet yang dinanti-nantikan menerusi lagu “Awal Kisah” dan “Bila”. Dinamika vokal dan keserasian mereka di atas pentas menjadi antara kemuncak persembahan. Suasana kemudian bertukar lebih santai apabila segmen karaoke menjadikan Zepp Kuala Lumpur seolah-olah sebuah koir besar, dengan penonton menyanyi bersama lagu seperti “Love & Let Go”, “Serba Salah”, “Jatuh Hati”, “Tak Berharap Lagi” dan “Percayalah”, menjadikan setiap bait seperti luahan kolektif 1,500 jiwa yang hadir dengan kisah masing-masing.
Dalam segmen paling menyentuh hati, Raisa turut mengangkat penghormatan buat arwah ibunya dan meluahkan kata-kata yang menggetarkan suasana. Beliau menyifatkan ibunya sebagai kekuatan utama dalam hidupnya dan setiap lagu yang disampaikan malam itu sebagai tanda cinta yang abadi. Ruang dewan diselubungi tepukan panjang yang terasa seperti pelukan buat penyanyi tersebut.
Malam itu turut menjadi bualan apabila Siti Nurhaliza hadir menyaksikan konsert berkenaan. Raisa secara jujur mengakui rasa gugup melihat figura besar itu berada di dalam dewan sebelum mengalu-alukan kehadirannya. Reaksi penonton jelas dengan sorakan dan keterujaan yang bergema, menjadikan detik tersebut antara momen manis Ambivert Tour di Kuala Lumpur.

Menjelang penghujung persembahan, Raisa menutup set utama dengan aura yang semakin intim sebelum mengajak penonton mengakhiri malam dengan rasa yang sukar digambarkan. Beliau turut menitipkan penghargaan kepada peminat Malaysia yang setia, menegaskan bahawa nyanyian bersama merekalah yang menghidupkan konsert tersebut. Sorakan yang masih tidak reda akhirnya dibalas dengan segmen encore apabila Raisa kembali ke pentas menyampaikan lagu penutup seperti “Usai Di Sini” dan “Apalah (Arti Menunggu)”, seolah-olah mengakhiri malam dengan satu janji halus bahawa rasa galau tidak pernah perlu ditanggung sendirian kerana muzik sentiasa menjadi tempat untuk kembali.













