Pentas Barbarik Vol 2 Gegarkan Mega Star Arena pada 31 Januari 2026

Kekecohan yang tercetus semasa konsert Pentas Barbarik Live di Odeon KL pada 12 Disember 2025 bukan sekadar mencetuskan perbincangan, malah membawa pelbagai pengajaran buat semua pihak. Insiden tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa Barbarik bukan sekadar sebuah kugiran yang lahir daripada kalangan pemuzik biasa. Karisma, identiti, pengaruh dan perjuangan mereka ternyata mempunyai ikatan kuat dengan peminat setia yang sentiasa mengikuti perjalanan seni kumpulan ini.

Selepas menzahirkan rasa simpati terhadap ratusan peminat yang tidak berpeluang menyaksikan konsert berkenaan akibat kapasiti venue yang penuh, Barbarik memilih untuk bertindak secara profesional. Mereka melihat situasi itu sebagai satu tanggungjawab yang perlu diselesaikan, bukan sesuatu yang boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Atas semangat tersebut, Pentas Barbarik Vol 2 diumumkan sebagai usaha untuk menebus kekhilafan dan menghargai sokongan luar biasa daripada peminat.

Republic Mokhmah Records bersama Pentas Barbarik Sdn Bhd kemudian tampil mengumumkan penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 yang akan berlangsung di lokasi lebih besar dan berskala megah. Konsert ini dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 31 Januari 2026 bermula jam 8 malam, sekali gus menjanjikan pengalaman persembahan yang lebih teratur dan selesa.

Menurut JoBranko yang mewakili Barbarik, penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 bukan bertujuan untuk menutup kekecohan yang berlaku sebelum ini, sebaliknya ia memang sudah lama berada dalam perancangan kumpulan tersebut. Namun, insiden yang berlaku membuatkan Barbarik mengambil tanggungjawab penuh untuk menjaga hubungan serta reputasi mereka bersama peminat. Pentas Barbarik Vol 2 juga dilihat sebagai bukti kesungguhan kumpulan itu untuk memberikan persembahan berskala besar yang lebih berkualiti, di samping memastikan isu penjualan tiket berlebihan tidak berulang.

Dari sudut penganjur, Republic Mokhmah Records menegaskan bahawa Pentas Barbarik Vol 2 bukan dianjurkan untuk mengambil kesempatan atas situasi yang berlaku sebelum ini. Sebaliknya, ia dianggap sebagai satu medan penting selepas beberapa siri penganjuran terdahulu. Wakil RMR, Encik Abdul Musa Haji Mokhtar, menyatakan bahawa Mega Star Arena merupakan lokasi terbaik untuk memulakan tahun baharu dengan sebuah konsert yang signifikan, sambil menegaskan komitmen penganjur untuk mengelakkan sebarang penjualan tiket tidak sah atau berlebihan yang boleh menjejaskan reputasi industri muzik tempatan.

Bagi menambahkan kehangatan persembahan, Pentas Barbarik Vol 2 turut menampilkan Karl sebagai artis undangan istimewa. Penyertaan pemuzik legenda ini dianggap simbolik dan bermakna memandangkan Karl pernah terlibat sebagai penyanyi undangan dalam album sulung Barbarik, Peluru Cokelat, menerusi lagu Golok Kayu. JoBranko menjelaskan bahawa kehadiran Karl bukan sekadar atas faktor legenda, tetapi kerana aura dan magis persembahannya yang sentiasa meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Gabungan pemuzik berpengalaman dan generasi baharu dalam kumpulan Barbarik seperti Ainoll, Rozaimi Muss, JoBranko dan Lee terus menjadi kekuatan utama kumpulan ini. Selain Karl Cromok, barisan artis undangan lain yang akan membuat penampilan termasuk Eddie, Black, Mel dan Jojet yang dikekalkan daripada persembahan terdahulu, menjadikan konsert ini lebih dinamik dan berlapis dari segi tenaga muzik.

Konsert yang dirancang berlangsung selama dua jam tiga puluh minit ini juga menjanjikan kelainan berbanding edisi pertama. JoBranko memaklumkan bahawa kira-kira 30 peratus repertoir akan berbeza daripada Pentas Barbarik Vol 1, termasuk pemilihan lagu yang tidak pernah dipersembahkan sebelum ini. Perubahan tersebut dibuat bagi memastikan peminat menerima pengalaman baharu dan tidak sekadar mendengar pengulangan lagu seperti dalam rakaman atau platform penstriman.

Bagi Barbarik, setiap persembahan pentas perlu membawa cerita tersendiri, sama ada pahit atau manis, yang akan terus dikenang oleh peminat selepas meninggalkan arena konsert. Atas semangat itu, persiapan rapi dan perancangan jangka panjang telah dilakukan bagi memastikan Pentas Barbarik Vol 2 menjadi satu pengalaman yang berbaloi.

Penjualan tiket Pentas Barbarik Vol 2 bermula pada 18 Disember jam 12 tengah hari menerusi platform iLassoTickets. Beberapa kategori tiket ditawarkan dengan harga bermula RM138 bagi General Admission, RM168 untuk Rockzone berdiri, RM268 bagi tempat duduk normal, RM368 untuk VIP tempat duduk, serta RM1,500 bagi Grand VIP Couple Seat.

Dengan skala lebih besar, barisan artis istimewa dan komitmen tinggi terhadap kualiti persembahan, Pentas Barbarik Vol 2 dijangka menjadi antara konsert paling hangat dan dinanti pada awal tahun 2026.