Odeon KL bangkit semula, tampil sebagai ruang kreatif dan budaya kota

Odeon KL, salah satu panggung wayang tertua dan paling ikonik di Malaysia sejak tahun 1936, kini memasuki fasa transformasi besar untuk kembali berfungsi sebagai pusat seni persembahan berskala profesional di tengah-tengah ibu kota. Terletak di atas tanah milik UDA Holdings Berhad, bangunan bersejarah ini sedang dinaik taraf sepenuhnya dan kini diuruskan oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd yang diterajui Pengarah Urusan, Mozylir Mokhtaruddin.

Berlokasi strategik di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hanya kira-kira 300 meter dari Stesen LRT Bandaraya dan 500 meter dari Stesen Monorel Medan Tuanku, Odeon KL berada dalam rangkaian akses yang sangat mudah di pusat bandar. Kedudukannya yang dikelilingi pusat membeli-belah utama seperti Kompleks Pertama, Sogo dan Kompleks Campbell menjadikan Odeon KL destinasi ideal untuk pengunjung tempatan, pelancong dan pencinta seni.

Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd membawa visi baharu untuk membangunkan Odeon KL sebagai sebuah hab acara yang merangkumi dewan konsert, ruang aktiviti, pentas seni persembahan dan platform kebudayaan. Di bawah perancangan pembangunan selama 10 tahun, Rockstation memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi kerja pemuliharaan, penaiktarafan dan penambahan kemudahan moden tanpa menjejaskan nilai sejarah bangunan warisan ini.

Naik taraf yang dirancang meliputi sistem bunyi, akustik dan teknikal bertaraf profesional, bilik persalinan artis yang lebih selesa, ruang logistik bagi keperluan produksi acara, kemudahan parkir, Laman Odeon sebagai ruang aktiviti niaga dan komuniti, serta kemudahan surau untuk pengunjung. Projek penaiktarafan ini dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026. Apabila siap kelak, Odeon KL bukan sahaja mengangkat martabat seni persembahan tempatan, malah dijangka membuka peluang perniagaan baharu kepada usahawan Bumiputera serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, Rockstation sedang menilai dan merangka penganjuran pelbagai acara seni, budaya, muzik dan festival bagi menjadikan Odeon KL sebagai antara destinasi tumpuan pelancong di Kuala Lumpur. Dengan gabungan sejarah hampir satu abad, kedudukan yang strategik dan pembangunan moden yang rapi, Odeon KL disasarkan muncul semula sebagai pusat seni persembahan yang berprestij dan relevan kepada generasi baharu. Transformasi ini bukan sekadar menyelamatkan sebuah bangunan lama, tetapi menjadi langkah penting untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota seni, muzik dan budaya yang lebih hidup dan inklusif.

Membuka tirai baharu Odeon KL, kumpulan rock tempatan Barbarik yang dianggotai Jo Branko, Muss, Rozaimi dan Ainol dipilih sebagai artis pertama membuat persembahan di pentas yang telah dinaik taraf ini. Konsert khas bertajuk Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL dijadual berlangsung pada 12 Disember 2025 dan dianjurkan oleh Odeon KL bersama Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd.

Pemilihan Barbarik dibuat bukan sahaja kerana reputasi mereka dalam dunia muzik keras, tetapi juga kerana muzik mereka dianggap sebagai ujian sebenar untuk menguji kemampuan sistem bunyi, akustik dan kelengkapan teknikal baharu Odeon KL. Kejayaan siri konsert Peluru Cokelat pada Jun lalu serta sokongan kuat komuniti peminat Rejim Barbarik turut mengukuhkan keputusan tersebut.

Mozylir Mokhtaruddin menyatakan pihaknya berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan Barbarik pada masa akan datang selepas menyaksikan persembahan bertenaga mereka di Zepp KL sebelum ini. Sambutan peminat yang luar biasa sehingga tiket habis terjual memberi keyakinan bahawa kolaborasi ini mempunyai potensi besar untuk diteruskan.

Sambutan terhadap konsert pembukaan di Odeon KL juga amat memberangsangkan apabila semua tiket dilaporkan habis dijual, dengan kehadiran yang dijangka mencecah 2,500 orang peminat pada malam tersebut. Detik ini menjadi simbol kepada kebangkitan semula Odeon KL sebagai sebuah pentas penting untuk seni, muzik dan budaya di tengah-tengah Kuala Lumpur.