Astro sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju hiburan tanah air dengan penganjuran ‘Konsert Countdown KITA 2026’, sebuah acara hujung tahun yang sentiasa dinantikan peminat. Pengumuman rasmi dibuat di rakaman program MeleTOP, menandakan kembalinya sebuah tradisi hiburan berskala besar yang telah mencipta rekod tersendiri tahun lalu apabila berjaya menarik lebih 30,000 penonton fizikal dan mencatat lebih 18 juta tontonan di media sosial.
Tahun ini, konsert tersebut hadir dengan semangat lebih segar, menampilkan persembahan daripada barisan artis popular tanah air sebagai penutup tirai 2025. Selaras dengan tema “KITA”, acara ini diraikan sebagai pentas kebersamaan yang mencerminkan kepelbagaian Malaysia melalui rentak muzik, suara dan persembahan yang melambangkan aspirasi rakyat dari pelbagai latar belakang.
Konsert berprestij ini bakal menyaksikan gabungan artis merentas genre dan generasi, termasuk Ella, Alleycats, Faizal Tahir, Amir Masdi, Hael Husaini, Nadeera, ALPHA, Mimi Fly, Darkkey, Ruhan, Geraldine Gan, Nicole Lai, Zuvy, Jun Jun, Auddra, Rayme dan ramai lagi. Persembahan mereka dijangka menghadirkan malam yang penuh energi, emosi dan kekuatan seni bagi menyambut tahun baharu.
Naib Presiden Kandungan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, menyatakan bahawa sambutan luar biasa tahun lalu menjadi pemangkin kepada penganjuran yang lebih inklusif pada tahun ini. Beliau turut mengajak rakyat Malaysia bersama memberikan sokongan kepada mangsa banjir melalui kempen Bantuan Banjir Astro Kasih yang dijalankan sepanjang acara tersebut. Menurutnya, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi simbol perpaduan dan kreativiti anak seni tempatan dalam membawa semangat positif menjelang 2026.
Astro turut meneruskan kerjasama dengan IOI City Mall Putrajaya sebagai penaja utama dan rakan lokasi rasmi, dengan Hotel Moxy Putrajaya sebagai hotel rasmi untuk acara tahun ini. Konsert berlangsung pada 31 Disember 2025 di The Symphony Walk (East), IOI City Mall Putrajaya, dan disiarkan secara langsung di Astro Ria serta platform digital seperti On Demand dan Astro GO.
Acara bermula dengan Pre-Show KITA 2026 dari jam 4 petang hingga 6.30 petang, menampilkan bakat-bakat Astro Home of Live bersama hos Haziq Hussni. Persembahan utama Konsert Countdown KITA 2026 bermula jam 9 malam hingga 10 malam, dikendalikan oleh hos MeleTOP, Nabil Ahmad, bersama Revathy Mariappan dan Yoon Ng.

Segmen kemuncak acara ialah kiraan detik ke tahun 2026 tepat jam 12 malam, diikuti persembahan bunga api khas yang dijangka menjadi tarikan utama malam tersebut. Malam itu turut ditutup dengan persembahan eksklusif daripada penyanyi tersohor tanah air sebagai penutup tirai 2025.
Pelanggan Astro juga boleh menikmati pelbagai ganjaran melalui Astro Rewards, termasuk kredit segera RM6 jika mendaftar di aplikasi Club IOI, manfaat parkir percuma sehingga empat jam dan diskaun 15% untuk tempahan hotel Moxy.
Bagi menyemarakkan lagi sambutan, Astro turut menganjurkan acara pra-kemuncak “Hello Putrajaya” yang menghimpunkan barisan selebriti program popular seperti Elite, Mendua dan Gegar Vaganza 12. Acara ini turut bekerjasama dengan VIU untuk sesi meet & greet bersama pelakon drama hit “Satu, Dua… Dia?” secara eksklusif buat pelanggan Astro.
“Hello Putrajaya” berlangsung pada 6 Disember 2025 di Symphony East 3, IOI City Mall Putrajaya sebagai pembuka tirai kepada kemeriahan Konsert Countdown KITA 2026.
#KonsertCountdownKITA2026 #HelloPutrajaya #AstroHomeOfLive #MeleTOP