Exists Premium Live @PJ Berwajah Baru: Tarikh Baharu & Ganjaran Eksklusif

Exists kembali menggoncang pentas selepas muncul dalam siri konsert tanpa henti sejak 2019, termasuk persembahan bersama Slam pada Julai lalu. Tahun ini, kumpulan legenda itu membawa sesuatu yang lebih eksklusif buat para peminat melalui EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ, sebuah persembahan penutup 2025 yang diperkaya dengan konsep mewah dan penuh sentuhan peribadi. Konsert ini menampilkan barisan anggota Exists — Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad — dengan pembawaan yang lebih matang dan dekat dengan peminat.

Konsert yang asalnya dijadualkan pada 4 Oktober kini secara rasmi ditunda ke 20 Disember 2025. Keputusan ini dibuat selepas Exists dan pihak penganjur, JioBuddy, menilai keperluan teknikal serta keinginan untuk memastikan persembahan benar-benar memenuhi standard “premium” seperti yang dijanjikan.

JioBuddy menjelaskan bahawa penundaan ini bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan peminat. Tidak seperti beberapa konsert lain yang ditunda dan kemudian dibatalkan, perubahan tarikh Exists Premium Live @ PJ dilakukan demi memastikan pengalaman peminat mencapai tahap eksklusif yang sebenar. Musa dari Exists menekankan bahawa persembahan kali ini akan menjadi lebih intimate, dekat, serta memberi peluang peminat mendekati kumpulan itu secara lebih personal. Konsert ini dibahagikan kepada empat segmen dengan sesi sembang santai, interaksi soal jawab serta kupasan kisah di sebalik lagu-lagu hit Exists.

Along turut menambah bahawa peminat bakal mengetahui momen-momen sentimental setiap lagu — dari proses rakaman, penghasilan hingga perasaan yang masih dibawa hingga kini. Ajai pula menyatakan bahawa konsep sebegini belum pernah dilakukan dalam mana-mana konsert Exists, menjadikan malam itu sesuatu yang benar-benar istimewa.

Mengukuhkan lagi nilai “premium”, Exists turut menyediakan dua hadiah super eksklusif untuk peminat bertuah. Hadiah pertama ialah gitar akustik Manuel Rodriguez milik Along, digunakan dalam rakaman lagu-lagu terkenal seperti Setanggi Syurga dan Salam Rindu. Hadiah kedua pula ialah satu set dram PDP CenterStage 5-Pc lengkap dengan Evans Drumheads dan Promark Sticks, disumbangkan melalui kerjasama bersama JS Music. Cara penyertaan akan diumumkan di media sosial kelak.

Ujang mengingatkan peminat bahawa untuk menang, mereka perlu mengikuti perkembangan sehingga ke pentas JioSpace pada 20 Disember nanti. Exists melihat tarikh baharu ini sebagai peluang menambah baik persiapan teknikal agar persembahan benar-benar refleksi standard mereka yang dihormati dalam industri lebih tiga dekad.

Menurut Ezad, Exists sentiasa menjaga kualiti persembahan dan menghargai setiap sen yang dibelanjakan peminat. Mereka berjanji persembahan kali ini akan tampil dengan pesona mewah yang sukar dilupakan sebelum Exists meneruskan rangkaian konsert baharu pada tahun hadapan.

Penganjur JioBuddy juga yakin dengan ketelitian Exists yang sudah terbukti sejak era mereka mula mencipta karya sejak 1991. Walaupun lagu-lagu hit tetap menjadi tulang belakang persembahan, penonton akan merasai kelainan daripada aspek permainan muzik, kualiti audio serta suasana intim yang tidak pernah ditawarkan sebelum ini.

Sebagai penghargaan tambahan, 100 peminat bertuah akan berpeluang bergambar secara peribadi bersama setiap anggota Exists. Tiket dengan kategori Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368) kini boleh diperoleh melalui www.jiotix.asia atau talian hotline khusus OKU di +6011 1660 1122. Tiket kategori Diamond yang mendapat sambutan luar biasa juga telah ditambah, dengan maklumat lanjut boleh didapati di media sosial rasmi.

Exists Premium Live @ PJ pada 20 Disember 2025 bakal menjadi sebuah malam penuh nilai nostalgia, kemewahan dan rasa kekeluargaan antara kumpulan legenda dan peminat setia mereka.