Penyanyi bersuara lunak dan bertenaga, Ernie Zakri, kembali mencuri perhatian peminat muzik tanah air dengan single terbaharunya berjudul “Dansa”, hasil ciptaan bersama Ernie Zakri dan John Jeeves, yang turut bertindak sebagai penerbit lagu ini. Menerusi “Dansa”, Ernie memperlihatkan sisi baharunya dengan gabungan elemen pop moden dan irama funky yang segar, menampilkan mesej positif untuk mengajak pendengar menari dan meraikan kehidupan walaupun berdepan kesedihan serta tekanan hidup.
Menurut Ernie, inspirasi di sebalik “Dansa” lahir daripada keinginannya untuk menyuntik semangat baharu kepada mereka yang sering berasa tertekan. “Emosi yang ingin saya sampaikan adalah bahawa kita boleh ‘menari jauh’ daripada segala kerisauan. Kadangkala kita terlalu dibebani oleh tekanan hingga terlupa untuk menghargai dan menikmati keindahan hidup di depan mata,” jelasnya.

Kerjasama Ernie bersama John Jeeves dalam penulisan dan penerbitan lagu ini turut memperlihatkan keserasian kreatif yang mendalam antara kedua-duanya. Proses penghasilan lagu berjalan lancar kerana Ernie sudah jelas dengan hala tuju muzik yang ingin dibawa. “Bekerjasama dengan John sememangnya menyenangkan. Idea kami mengalir dengan mudah, dan penulisan lirik berlaku dalam tempoh yang singkat. Saya berharap lagu ini dapat membantu pendengar melepaskan kesedihan dan menikmati setiap detik kehidupan,” katanya lagi.
“Dansa” juga menampilkan sisi Ernie yang lebih berani bereksperimen dengan bunyi dan gaya persembahan, tanpa meninggalkan identiti pop yang sinonim dengannya. Pendekatan funky dan kontemporari menjadikan karya ini lebih segar dan moden, memperlihatkan evolusi muzik Ernie yang semakin matang. Beliau turut merancang untuk menyertakan “Dansa” dalam album Sahabat bagi menambah kepelbagaian konsep dan warna muzik dalam keseluruhan naskhah tersebut.

Dengan vokal yang mantap, mesej positif yang mengangkat semangat serta susunan muzik yang dinamik, “Dansa” dijangka menjadi antara karya penting dalam perjalanan seni Ernie Zakri. Lagu ini bukan sahaja memperkukuh kedudukannya sebagai salah seorang penyanyi wanita terkemuka Malaysia, tetapi juga menandakan fasa baharu dalam evolusi kreatifnya.
“Dansa” kini boleh didengarkan di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.













