Dua dekad selepas Ada Apa Dengan Cinta? mencipta fenomena dan menjadi lambang cinta remaja era 2000-an, kisah ikonik itu kini bernafas kembali dalam wajah baharu menerusi Rangga & Cinta, arahan pengarah tersohor Riri Riza. Filem ini menggabungkan sastera, irama dan nostalgia cinta dengan sentuhan segar generasi baharu. Ia bakal menemui penonton Malaysia di pawagam mulai 6 November 2025.
Diterbitkan oleh Miles Films dengan penerbit berpengaruh Mira Lesmana bersama Nicholas Saputra dan Toto Prasetyanto, Rangga & Cinta turut mendapat sokongan Primeworks Studios sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi di Malaysia. Filem ini menampilkan barisan pelakon muda berbakat seperti Leya Princy, El Putra Sarira, Jasmine Nadya, Kyandra Sembel, Katyana Mawira, Daniella Tumiwa, Rafi Sudirman dan Rafly Altama.
Kisah bermula apabila Cinta (Leya Princy), pelajar berusia 17 tahun yang popular dan disayangi ramai, menjalani kehidupan sempurna dikelilingi sahabat baiknya Alya, Maura, Milly dan Karmen yang turut mengurus kelab majalah sekolah. Segalanya berubah apabila Rangga (El Putra Sarira), pelajar misteri yang mengekspresikan diri melalui karya sastera, muncul dan menewaskan Cinta dalam pertandingan puisi tahunan sekolah.
Cinta berusaha menerima kekalahan itu dengan tenang dan merancang untuk menemu bual Rangga bagi majalah sekolah. Namun, pertemuan pertama mereka tidak berjalan lancar kerana Rangga bersikap dingin dan angkuh. Hari demi hari, ketegangan antara mereka bertukar menjadi ikatan halus melalui pertukaran kata-kata puitis. Di sebalik perasaan yang mula mekar, Cinta diuji antara kesetiaan terhadap sahabatnya dan kejujuran terhadap hatinya sendiri.
Menurut pengarahnya, Riri Riza, filem Rangga & Cinta mungkin digarap sebagai kisah cinta remaja, namun ia mencerminkan realiti sosial masa kini. “Cerita ini membangkitkan emosi yang kuat, cukup peribadi dan sangat relevan bagi penonton moden. Ia menggambarkan perjalanan remaja yang tumbuh di persimpangan antara cinta, identiti dan impian,” katanya. Beliau turut mengakui bahawa pengalaman mengarahkan filem ini merupakan antara yang paling emosional dalam kariernya. “Ratusan kru dan pelakon memberikan dedikasi luar biasa untuk menjayakan filem ini. Setiap perincian, dari jalan cerita, visual hingga muzik, dihasilkan dengan sepenuh hati. Kami berharap penonton dapat merasakan semangat itu di layar lebar.”
Menariknya, Rangga & Cinta bukan sekadar adaptasi, tetapi interpretasi baharu berbentuk muzikal yang menggabungkan sastera, lagu dan koreografi sebagai bahasa utama penceritaan. Filem ini turut menampilkan semula lagu-lagu ikonik karya Melly Goeslaw dan Anto Hoed seperti Suara Hati Seorang Kekasih, Kubahagia dan Bimbang, selain memperkenalkan tiga lagu baharu termasuk lagu tema Rangga Cinta nyanyian Eva Celia dan Bilal Indrajaya — simbol penyatuan antara nostalgia lama dan semangat baharu.
Kerjasama strategik turut dijalinkan bersama Samsung melalui Galaxy S25 FE bagi meraikan semangat generasi kreatif masa kini. Kolaborasi ini turut memperkenalkan siri kandungan sosial berkonsepkan “meme-fication” yang menghubungkan adegan filem dengan kehebatan AI dan kamera profesional peranti tersebut, menjadikan kisah cinta dan persahabatan ini lebih dekat dengan dunia digital hari ini.
Rangga & Cinta menjanjikan pengalaman menonton yang penuh emosi dan nostalgia, mengajak penonton menyelami getirnya cinta pertama, manisnya persahabatan serta keindahan puisi yang menyatukan dua jiwa berbeza. Bila dua hati bertemu, cinta menemukan nadanya — kerana setiap generasi punya Rangga & Cinta mereka sendiri.
Bersedia untuk menghayati semula dialog legenda dan baris-baris puisi yang pernah mencairkan hati penonton di pawagam mulai 6 November 2025. Kongsikan detik menonton anda di media sosial dengan tanda pagar rasmi #RanggaCintaDiMalaysia dan rasai semula magis cinta yang tidak pernah pudar.
Untuk perkembangan serta kandungan eksklusif, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.