Media Prima dan Primeworks Studios sekali lagi membuktikan dominasi mereka dalam industri kreatif tanah air apabila meraih lima pencalonan utama di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34). Kejayaan ini menegaskan reputasi kedua-dua entiti tersebut sebagai peneraju kandungan berkualiti tinggi yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut mengangkat nilai kemanusiaan, realiti sosial serta memperkukuh martabat industri seni tempatan ke tahap antarabangsa.
Antara karya yang mencuri tumpuan di FFM34 ialah tiga produksi terbitan TV3 Fail Mahkamah: Derita Zara, Fail Mahkamah: Rindu Tak Berpenghujung dan Majalah 3: Nadi Peralihan Tenaga yang masing-masing menonjol melalui kekuatan penceritaan berasaskan realiti dan mesej kemanusiaan mendalam. Ketiga-tiga dokumentari tersebut dicalonkan dalam kategori Dokumentari Terbaik, menampilkan komitmen pasukan produksi dalam mengetengahkan isu masyarakat dengan penuh empati dan kepekaan.
Turut mencuri perhatian ialah dua karya besar terbitan Primeworks Studios, iaitu Blood Brothers: Bara Naga dan Ejen Ali The Movie 2. Filem animasi Ejen Ali The Movie 2, terbitan bersama Primeworks Studios dan WAU Animation, sekali lagi membanggakan industri tempatan selepas mencatat kejayaan box-office. Filem ini menerima tiga pencalonan di FFM34 dalam kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Kesan Khas Visual Terbaik, serta Penataan Bunyi Terbaik memperlihatkan kemampuan produksi animasi tempatan bersaing di peringkat global.

Sementara itu, Blood Brothers: Bara Naga, hasil kerjasama Skop Productions dan Primeworks Studios arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, menjadi antara filem paling dominan tahun ini. Filem aksi epik ini berjaya menembusi pelbagai kategori utama termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik, serta Lagu Tema Terbaik menerusi lagu Bara Jiwa nyanyian Azlan & The Typewriter dan Muzza.
Kejayaan lima kandungan unggul ini menjadi bukti kukuh terhadap visi Media Prima dan Primeworks Studios dalam memperkasa landskap kreatif negara. Ia juga mencerminkan komitmen berterusan dalam mempersembahkan karya yang bukan sahaja menghibur, tetapi memberi inspirasi serta membawa mesej bermakna kepada masyarakat.
Malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-34 bakal berlangsung pada 1 November 2025, jam 8.30 malam, dan akan disiarkan secara langsung di TV2 RTM serta saluran rasmi YouTube FINAS. Acara berprestij ini dijangka menjadi detik bersejarah dalam meraikan kehebatan sinema tempatan serta menghargai usaha gigih penggiat seni Malaysia dalam menghasilkan karya yang membanggakan negara.