Northern Festival of Speed Tarik Ribuan Penggemar Automotif

Buat julung kalinya, arena permotoran utara tanah air digegarkan dengan penganjuran karnival automotif terbesar, Northern Festival Of Speed (NFOS). Acara berprestij ini dianjurkan oleh Northern Speedo & Choii Motorsports, dengan Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH) selaku penaja utama, serta sokongan daripada pelbagai penaja lain.

Berlangsung selama tiga hari dari 3 hingga 5 Oktober 2025 di PICCA Butterworth, Pulau Pinang, NFOS menjanjikan pengalaman luar biasa buat pengunjung apabila pelbagai aktiviti menarik digabungkan dalam satu acara meriah. Antara aktiviti utama termasuk pameran gaya hidup, automotif, hiburan, serta aktiviti mesra keluarga yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif PMH, Izwan Mazlan, menyatakan pihaknya amat berbesar hati menjadi penaja utama acara tersebut sebagai tanda sokongan terhadap industri automotif negara. Menurut beliau, penganjuran NFOS bukan sahaja memberi peluang kepada peminat kereta untuk menyaksikan koleksi “rare” dari dalam dan luar negara secara eksklusif, malah ia juga menjadi platform memperkukuh minat generasi muda terhadap dunia automotif.

“PMH sanggup berbelanja besar untuk menjayakan acara ini kerana kami mahu rakyat Malaysia menikmati pengalaman luar biasa. Selain menjadi penaja, PMH turut membuka booth pameran dan jualan kereta import terpakai (recond) dari luar negara,” katanya.

Turut mencuri tumpuan, PMH Motor memperkenalkan motosikal elektrik (EV) bumiputera, LION G1 GGR EV, yang semakin mendapat sambutan hangat. Pengunjung berpeluang melihat secara dekat serta mencuba sendiri motosikal berteknologi hijau ini di tapak pameran. PMH dan GGR menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif kerajaan ke arah penggunaan kenderaan EV sebagai sebahagian daripada “Go Green Revolution”.

Pemilihan PICCA Butterworth sebagai lokasi utama dibuat kerana ruangnya yang luas serta sokongan padu daripada komuniti automotif tempatan dan luar negara. Antara pempengaruh dan komuniti automotif yang turut hadir termasuk Motor Maniac, Uncle Shah, Nim 199, Retro Havoc, Alie Kuoppa, Abe Mey Sarman Printing, Narock, Bateriku, ESR, serta ramai lagi. Acara ini turut menarik kehadiran peminat dari Thailand dan Singapura, membuktikan daya tarikan NFOS sebagai festival automotif berskala besar.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti taxi drift, demo drift, car meet, car show, booth jualan barangan automotif, serta konsert dengan barisan artis popular termasuk XPDC, Cherpen, 53 Universe, dan K.O.I. Acara bermula jam 12 tengah hari dan berlangsung sehingga 12 tengah malam setiap hari.

Antara tarikan terbesar NFOS ialah cabutan bertuah bernilai tinggi, dengan tiga buah kereta sebagai hadiah utama sebuah Mercedes A Class W177 (Unregister) bernilai RM200,000, sebuah Nissan 350Z, dan sebuah Honda Civic FD. Dengan bayaran tiket masuk serendah RM15, pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik, malah turut berpeluang membawa pulang hadiah lumayan. kemuncak acara akan berlangsung pada hari Ahad, melibatkan majlis penutup rasmi serta pengumuman pemenang utama cabutan bertuah.

Penganjur NFOS, Faris Azri dari Choii Motorsports dan Muhammad Hadzimi, pengasas Northern Speedo, menyatakan keyakinan bahawa festival ini mampu menarik lebih 70,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran. Ini sekaligus menjadikan NFOS sebagai antara acara automotif terbesar yang pernah diadakan di utara tanah air.