Bukit Bintang semalam seakan berubah menjadi medan lautan manusia apabila aktor dan model ternama Korea Selatan, Lee Soo-hyuk, muncul buat julung kalinya di Malaysia. Kehadirannya di acara Galaxy Unfolds Roadshow di Pavilion KL mencetuskan kekecohan luar biasa, dengan lebih 2,000 peminat membanjiri ruang Concourse Utama untuk menyambut kehadiran bintang utama drama thriller terbaru, S LINE, yang kini ditayangkan eksklusif di platform Tonton.
Sejak awal petang, Pavilion KL dipenuhi peminat yang sanggup beratur dan menunggu berjam-jam demi peluang melihat Lee Soo-hyuk dari dekat. Ada yang hadir seawal jam 2 petang walaupun beliau hanya dijadualkan tiba pada jam 5. Menjelang jam 3, setiap ruang dari tingkat bawah hingga ke aras atas—sudah padat dengan peminat yang bersemangat membawa sepanduk, poster, dan kamera, menanti detik penuh makna.
Keadaan menjadi semakin meriah apabila kumpulan peminat dilihat bergerak beramai-ramai dari Lot 10 ke pintu masuk Pavilion KL, mencetuskan suasana seolah-olah satu perarakan besar sedang berlangsung. Antara yang mencuri perhatian termasuk peminat yang membawa sepanduk bertulis “Lee Soo-hyuk’s die-hard fan is here!!!” dan “Tonton Lee Soo-hyuk”, menghidupkan suasana seperti sambutan permaidani merah bintang global.
Kemunculan Lee Soo-hyuk di pentas utama akhirnya menggegarkan segenap ruang Pavilion KL. Jeritan histeria, tepukan gemuruh dan laungan ‘Oppa!’ bergema serentak, menjadikan suasana seakan sebuah konsert K-Pop mini. Ada yang dilihat menitis air mata kerana terlalu gembira, dan ramai yang merakam setiap detik dengan penuh teruja. Peminat dari luar Kuala Lumpur seperti Pulau Pinang dan Johor turut hadir, menunjukkan sejauh mana penangan bintang K-Drama ini.

Lee Soo-hyuk kelihatan sangat terharu dan tidak henti-henti melambai ke arah peminat yang memanggil namanya. Dalam ucapan ringkasnya, beliau berkata, “I’m so happy to finally meet Malaysian fans. I’m super nervous right now. Thanks for supporting me.” Ucapannya itu disambut sorakan gemuruh, terutama apabila beliau menambah, “I hope to visit Malaysia more. Thank you Samsung for giving this opportunity.”
Namun detik paling manis dan mencairkan hati ialah apabila Lee Soo-hyuk secara spontan melafazkan “Aku cinta padamu” dalam Bahasa Melayu. Sorakan yang menyusul hampir memecahkan gegendang telinga, menandakan betapa kuatnya aura bintang Korea itu di hati peminat Malaysia.
Kehadirannya di Pavilion KL bukan sekadar acara promosi, tetapi satu fenomena budaya pop yang membuktikan betapa kuatnya pengaruh bintang Hallyu dalam kalangan rakyat Malaysia. Fenomena ini dijangka terus mekar dengan penayangan drama thriller S LINE, yang kini boleh distrim secara eksklusif di Tonton. Dua episod pertama telah pun ditayangkan serentak dengan Korea pada 11 Julai lalu.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Lee Soo-hyuk dalam sisi misteri dan mendebarkan menerusi S LINE, hanya di Tonton. Oppa sudah datang ke sini dan kini masanya anda ‘masuk’ ke dunia penuh debarannya pula! – Tehtariktimes