Lee Soo-hyuk Kembali Hangatkan Malaysia, Jumpa Peminat di Pavilion KL Esok!

Kuala Lumpur dibanjiri aura bintang Hallyu hari ini apabila aktor kacak Korea Selatan, Lee Soo-hyuk, selamat tiba di KLIA1 sekitar jam 5 petang dalam sambutan hangat ratusan peminat yang setia menunggu sejak awal. Kehadirannya ke Malaysia sememangnya menjadi detik bersejarah buat peminat tempatan kerana ini merupakan lawatan pertamanya ke negara ini.

Ketibaan Lee Soo-hyuk adalah sempena acara Samsung Galaxy Unfolds yang bakal berlangsung pada Rabu, 16 Julai 2025, bertempat di Concourse Utama Pavilion Kuala Lumpur. Pelakon berkarisma ini dijadualkan membuat kemunculan khas bermula jam 3.30 petang hingga 7.30 malam, menjadikannya peluang eksklusif buat peminat tempatan bertemu idolanya secara langsung.

Lebih menarik, kunjungan beliau ke Malaysia turut dibawakan oleh platform penstriman Tonton, bersempena tayangan eksklusif drama thriller terbaharunya berjudul S LINE. Drama ini telah meraih pujian tinggi di peringkat antarabangsa apabila terpilih sebagai antara judul utama di festival Canneseries 2025, sekali gus melonjakkan status Lee Soo-hyuk sebagai bintang global.

Disiarkan serentak dengan Korea, dua episod pertama S LINE telah pun boleh ditonton di Tonton sejak 11 Julai lalu. Dengan jalan cerita penuh misteri dan sinematografi bergaya, drama ini menjanjikan pengalaman menonton yang berbeza penuh suspens dan visual yang memukau.

Tonton, sebagai platform penstriman tempatan terkemuka, terus membuktikan komitmennya dalam menyajikan kandungan antarabangsa berkualiti tinggi kepada penonton Malaysia. Kolaborasi membawa Lee Soo-hyuk secara eksklusif ke Kuala Lumpur menjadi bukti nyata usaha tersebut, sekaligus memperkukuh kedudukan Tonton dalam landskap penstriman serantau.

Para peminat K-drama diseru untuk hadir awal ke Pavilion KL esok bagi mendapatkan tempat terbaik menyaksikan penampilan eksklusif Lee Soo-hyuk. Suasana dijangka meriah dengan ribuan pengunjung membanjiri lokasi bagi menyambut kehadiran pelakon pujaan ramai ini secara dekat.

Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk bertemu bintang S LINE secara langsung di Kuala Lumpur!
Muat turun aplikasi Tonton atau layari www.tonton.com.my sekarang untuk menonton S LINE dan kandungan eksklusif Korea lain, hanya di Tonton. – Tehtariktimes