MClean Technologies Umum Keputusan Suku Pertama 2025 yang Cemerlang, Keuntungan Sebelum Cukai Meningkat 753.52%

MClean Technologies Berhad (“MClean” atau “Syarikat”), peneraju dalam penyelesaian pembersihan dan rawatan permukaan, memulakan tahun kewangan 2025 dengan pencapaian luar biasa. Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (“S1 TK2025”), Syarikat melaporkan prestasi kewangan kukuh dan pertumbuhan hasil yang memberangsangkan. Pengumuman ini dibuat bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Kelima Belas yang berlangsung pada hari yang sama.

MClean mencatat jumlah hasil sebanyak RM14.47 juta, meningkat 10.18% daripada RM13.13 juta pada tempoh sama tahun lalu. Pertumbuhan ini sebahagian besarnya disokong oleh permintaan konsisten dalam perniagaan teras Syarikat iaitu pembersihan dan rawatan permukaan berketepatan tinggi.

Lebih mengagumkan, keuntungan sebelum cukai melonjak kepada RM3.03 juta, berbanding RM0.35 juta pada S1 TK2024 – peningkatan ketara sebanyak 753.52%. Ini turut menyumbang kepada keuntungan bersih sebanyak RM3.05 juta, naik daripada hanya RM0.24 juta setahun lalu.

Prestasi cemerlang ini dipacu oleh kecekapan operasi yang dipertingkatkan, serta permintaan stabil daripada sektor Pemacu Cakera Keras (HDD) dan elektronik pengguna. Selain itu, penyumbang baharu kepada pertumbuhan ialah We Total Engineering Sdn. Bhd. (WTE), syarikat pengacuan suntikan plastik yang baru diambil alih oleh MClean pada akhir Mac 2025. Pengambilalihan ini sejajar dengan pelan strategik syarikat untuk mempelbagaikan penawaran dan memperluaskan kehadiran dalam segmen kejuruteraan plastik.

Dato’ Dr. Terence Tea Yeok Kian, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif MClean Technologies, berkata “Kami sangat berbesar hati melihat hasil usaha transformasi strategik mula membuahkan hasil. Keputusan kewangan suku pertama ini mencerminkan kekuatan asas perniagaan kami serta keberkesanan pelan pertumbuhan jangka panjang. Dengan mandat dan keyakinan yang diberikan oleh para pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan, kami optimis untuk terus maju ke hadapan dengan lebih kukuh.”

Melangkah ke hadapan, MClean akan terus memberi tumpuan kepada peluang pertumbuhan dalam industri elektronik, automotif, dan peralatan perubatan, disokong oleh asas kewangan yang kukuh dan kapasiti pengeluaran yang lebih luas.