Kamal Haasan Kembali Dengan Thug Life 5 Jun!

Kamal Haasan,Thug Life Kamal Haasan,Thug Life

Pelakon legenda Kamal Haasan bakal menggempur pawagam Malaysia menerusi naskhah epik Thug Life bermula 5 Jun ini! Filem berskala besar ini menyaksikan penyatuan semula yang dinanti ramai Kamal Haasan, pengarah ikonik Mani Ratnam, dan komposer bertaraf Oscar, A.R. Rahman selepas 38 tahun sejak karya klasik Nayakan.

Thug Life mengisahkan perjuangan seorang lelaki yang terpinggir dan dikhianati, namun bangkit melawan sistem korup dalam dunia penuh ketakutan. Lebih daripada sekadar hiburan, ia adalah kisah berani tentang harga diri, pemberontakan, dan erti sebenar perjuangan dalam dunia yang tidak adil.

Dalam sidang media eksklusif di Kuala Lumpur, Kamal Haasan menyifatkan filem ini sebagai “anak” yang kini diserahkan kepada penonton Malaysia, sambil menyatakan keterujaannya kembali bekerjasama dengan Mani Ratnam yang kini tampil dengan visi pengarah yang lebih matang dan menyeluruh.

Barisan pelakon turut mengukuhkan kehebatan Thug Life, termasuk Silambarasan TR (STR), Trisha Krishnan, Abhirami, dan Ashok Selvan masing-masing membawa karakter yang kuat, emosional, dan berjiwa generasi baru.

Menariknya, filem ini turut menerapkan teknologi baharu termasuk unsur kecerdasan buatan (AI) dalam pembikinan, membuka dimensi baru dari segi naratif dan visual. Bagi Kamal, teknologi bukan hanya alat, tetapi ruang untuk memperdalamkan cerita dengan lebih autentik.

Kamal juga sempat mengimbas kembali hubungannya yang erat dengan Malaysia, termasuk pengalaman penggambaran dan kolaborasi lama bersama Rajinikanth. Baginya, hubungan antara Malaysia dan India bukan sekadar diplomatik, tetapi jalinan budaya dan kekeluargaan.

Ditayangkan dalam lima bahasa utama Tamil, Telugu, Hindi, Malayalam dan Kannada Thug Life menampilkan skala pan-India yang besar. Di Malaysia, filem ini akan diedarkan oleh DMY Creation, dengan AP International menguruskan tayangan global.

Dengan gandingan tiga nama besar sinema India, naratif mendalam dan produksi berani, Thug Life menjanjikan pengalaman sinematik luar biasa sebuah suara tentang pemberontakan dan realiti yang tak harus dibisukan. – Tehtariktimes