Terma Perdagangan Malaysia mencatatkan kenaikan 1.2% pada Mac 2025, mencapai 119.5 mata berbanding bulan sebelumnya. Peningkatan ini didorong oleh lonjakan indeks minyak galian (+2.0%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+1.3%), serta makanan (+1.0%).
Pada masa yang sama, harga eksport Malaysia meningkat 0.2%, mencapai 151.8 mata, manakala indeks nilai seunit import menurun 0.9% kepada 127.0 mata. Walaupun indeks nilai seunit import merosot, indeks volum import mencatatkan kenaikan 7.6%, terutamanya dalam bahan kimia, pelbagai barang keluaran kilang, dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan.
Perbandingan tahunan pula menunjukkan peningkatan 3.8% dalam terma perdagangan berbanding Mac 2024. Statistik ini diperoleh melalui laporan terkini Indeks Perdagangan Luar Negeri Malaysia yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam pada itu, DOSM juga mengumumkan bahawa Malaysia akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) tahun ini, yang bertujuan memperkukuh kerjasama statistik di rantau ini. Sementara itu, 20 Oktober telah diisytiharkan sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) dengan tema “Statistik Nadi Kehidupan”.
Untuk mendapatkan data terkini dan analisis lebih mendalam, pengguna boleh mengakses portal OpenDOSM NextGen di open.dosm.gov.my.