Memperkenalkan Zee Avi, seorang pemuzik yang tidak asing lagi di kalangan peminat muzik Malaysia.
Beliau telah mencipta pelbagai lagu hit seperti “Kantoi,” “Bitter Heart,” dan “Concrete Wall,” yang tidak hanya menjadi kegemaran peminat, tetapi juga mencipta sejarah tersendiri yang membanggakan industri muzik tempatan di persada dunia.
Karya-karya berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh pemuzik berbakat asal Sarawak ini telah membuatkan ramai penggemar terlupa bahawa Zee Avi sudah lebih 13 tahun tidak melancarkan album baru. Namun, berita gembira kini tiba, apabila Zee Avi mengumumkan bahawa beliau sedang dalam proses mempersiapkan album terkini, yang merupakan album ketiganya.
Lebih menarik lagi, penyanyi berusia 38 tahun ini memperkenalkan ‘gerakan’ barunya yang akan disertai bersama band yang diberi nama Zee Avi And The Good Things. “Setelah hampir 13 tahun sejak album terakhir saya, ‘Ghostbird’ dipasarkan, saya kini sedang giat mempersiapkan album ketiga yang pastinya dinantikan ramai,” ungkapnya penuh semangat.
Zee Avi menjelaskan bahawa album ini akan mengandungi sekitar 10 hingga 11 buah lagu dan yang paling menarik, beliau kini bergerak secara independen. “Saya lebih bebas berkarya dan dapat menyempurnakan album ini mengikut visi dan keinginan saya sendiri. Muzik dalam album kali ini akan lebih mencerminkan kematangan berkarya saya, bersama sentuhan daripada band saya, Zee Avi And The Good Things,” tambahnya.
Zee Avi And The Good Things terdiri daripada dirinya sendiri, Raja Farouk (bass), Jude Macson (gitar), Yuswa Ansari (bass), dan AKZ (pengarah muzik serta drum/perkusi). “Sudah tentu, produksi dan bunyi album ini akan lebih segar dan personal, dan yang paling membanggakan adalah semua pemuzik dalam band ini berasal dari Malaysia,” jelasnya dengan penuh bangga.
Sementara album ketiga ini hampir siap, Zee Avi telah melancarkan single terbaru yang cukup versatil dan unik, berjudul “Oyasumi Na Sayang.” Lagu ini merupakan kolaborasi dengan band dari Fukuoka, Jepun, MuchaMuchaM, yang menggabungkan elemen bahasa Melayu dan Jepun.
“Oyasumi Na Sayang adalah hasil kolaborasi saya bersama MuchaMuchaM dan dihasilkan dalam dua bahasa. Proses pembikinan lagu ini sangat menarik, kerana kami melakukannya secara maya; mereka di Jepun, saya di Malaysia. Proses kreatif bermula dengan komposisi tanpa melodi dan lirik dari mereka, di mana saya menyumbangkan melodi dan lirik dalam bahasa Melayu. Alhamdulillah, mereka menerima hasilnya dengan baik,” kata Zee dengan penuh keterujaan.
Dua versi “Oyasumi Na Sayang” telah dihasilkan, satu oleh MuchaMuchaM dan satu lagi versi disko oleh Zee Avi And The Good Things, yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Sementara menunggu versi disko, peminat boleh menikmati versi MuchaMuchaM yang sudah tersedia di semua platform penstriman.
Di sebalik kesibukan dalam penghasilan album ketiga, Zee Avi juga aktif membuat persembahan di pelbagai festival besar, termasuk Axean Festival dan Kuching Jazz Fest. “Saya sangat teruja untuk membuat persembahan di kedua-dua festival ini, kerana ini adalah pentas perdana saya bersama Zee Avi And The Good Things. Saya tidak sabar untuk berkongsi sound baru kami,” katanya.
Lebih menarik lagi, Zee Avi telah menerima tawaran untuk berkolaborasi dengan band popular Indonesia, Fourtwenty, bagi dua persembahan yang akan datang. “Saya menerima emel daripada pihak pengurusan mereka dan terus menerima peluang ini dengan hati terbuka. Sebagai seorang pengkarya, saya sangat menghargai peluang untuk berkolaborasi dengan artis dari luar Malaysia, tidak kira sejauh mana mereka berasal,” tambahnya.
Zee Avi juga mengambil inisiatif untuk menggunakan pengaruhnya bagi tujuan amal. Beliau baru-baru ini menganjurkan kutipan derma bagi kanak-kanak di Gaza dengan kerjasama Mercy Malaysia di BoboKL. “Saya sentiasa terbuka untuk peluang memberi sumbangan kepada masyarakat Malaysia melalui seni, dan saya berbesar hati dapat membantu dalam cara ini,” ujarnya.
Dalam perjalanan seninya, Zee Avi amat bersyukur kerana suaminya, Kenji Matano, yang dinikahi sejak tahun 2021, sentiasa menjadi pendukung sejatinya. “Dia adalah penyokong terkuat dan terbesar saya. Sentiasa memberi sokongan positif kepada saya, terutamanya ketika saya berasa ragu tentang diri sendiri. Saya percaya sokongan ini adalah faktor penting dalam perjalanan seni saya,” kata Zee Avi dengan penuh keyakinan.
Dengan segala usaha dan dedikasinya dalam industri muzik, Zee Avi terus membuktikan bahawa beliau adalah bintang yang bersinar, dan peminatnya pasti dapat menantikan lebih banyak kejutan hebat daripada beliau di masa hadapan.