Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam atau Kumpulan) mencatatkan keuntungan bersih RM266.3 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1H2024), meningkat 4.8% berbanding tempoh sama pada tahun 2023. Prestasi tersebut diterjemahkan kepada Pulangan Ekuiti Bersih (ROE) tahunan yang lebih baik sebanyak 7.4% dan Perolehan Sesaham (EPS) 11.75 sen berbanding 1H2023.
Peningkatan keuntungan bersih tersebut didorong oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi dan peruntukan bersih untuk rosot nilai ke atas pembiayaan yang lebih rendah, diseimbangkan oleh jumlah overhed yang lebih tinggi.
Sebahagian besar pengukuhan pendapatan bersih Kumpulan disebabkan oleh pendapatan berasaskan dana yang lebih tinggi, mengukuh 5.8% kepada RM1.07 bilion, dipacu oleh pertumbuhan y-o-y sekuriti pelaburan dan pembiayaan. Margin pendapatan bersih (NIM) juga meningkat sembilan (9) mata asas (bps) ke 2.17% untuk 1H2024 berbanding 2.08% yang dicapai 1H2023. Namun, pendapatan bukan berasaskan dana Kumpulan susut sebanyak RM28.9 juta atau 14.1%, sebahagian besar disebabkan oleh pendapatan pelaburan yang lebih rendah.
Peruntukan bersih untuk rosot nilai ke atas pembiayaan dan pendahuluan susut 37.3% kepada RM77.5 juta, manakala nisbah kos kredit pembiayaan adalah 0.23% berbanding 0.38% yang dicatat pada 1H2023. Setakat 30 Jun 2024, nisbah pembiayaan terjejas kasar adalah 0.92%, kekal lebih rendah berbanding purata industri 1.60%.
Bank Islam komited untuk menjadi peneraju amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus patuh Syariah (Syariah-ESG) dengan memberi tumpuan kepada penawaran perbankan digital dan kewangan sosial. Kumpulan telah melepasi sasaran awal RM4 bilion dalam pembiayaan hijau bagi memacu ekonomi hijau menjelang tahun 2025 dengan merekodkan RM4.77 bilion setakat 30 Jun 2024.
Jumlah aset mengukuh 6.4% y-o-y kepada RM93.0 bilion setakat 30 Jun 2024, dirangsang oleh pertumbuhan dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan. Aset bersih sesaham adalah lebih tinggi, iaitu RM3.35 berbanding 1H2023. Peningkatan dalam pembiayaan kasar telah didorong oleh pertumbuhan y-o-y sebanyak 4.4% dalam pembiayaan pengguna dan 7.6% bagi pembiayaan komersial. Sungguhpun demikian, penyusutan dalam pembiayaan korporat telah menyebabkan jumlah pembiayaan kasar mencatat 2.7% y-o-y kepada RM68.1 bilion.
Akaun deposit dan pelaburan pelanggan meningkat sebanyak 8.5% y-o-y kepada RM78.5 bilion. Akaun semasa, simpanan dan transaksi pelaburan (CASATIA) berada pada RM29.1 bilion pada akhir Jun 2024, diterjemah kepada komposisi sihat CASATIA 37.0%.
Jumlah Nisbah Modal kekal teguh pada 19.4% setakat 30 Jun 2024.
Jangkaan masa depan
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed, menekankan komitmen teguh Kumpulan dalam memastikan kestabilan kewangan jangka panjang menerusi pertumbuhan strategik yang seimbang dan pengurusan aset yang berhemat.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi, Kumpulan akan memberi keutamaan terhadap pengukuhan asas, pengurusan lembaran imbangan yang ketat dan penyelesaian inovatif yang membezakan Bank Islam dalam persaingan pasaran yang kian kompetitif. Fokus kami kekal untuk meningkatkan pendapatan berasaskan bukan dana, memperluaskan pengurusan kekayaan dan memacu pertumbuhan pembiayaan,” katanya.
Mohd Muazzam turut menegaskan tumpuan Bank Islam dalam mengembangkan CASATIA, memanfaatkan usaha sama strategik yang terjalin serta memajukan perbankan tanpa tunai dan dalam talian, khususnya dalam segmen runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Selain prestasi kewangan, Bank Islam turut memberi perhatian terhadap komitmen kemampanannya dan memastikan produk serta perkhidmatan yang disediakan bersifat inklusif bagi memacu kemakmuran serta perkembangan yang berpanjangan kepada semua pemegang taruh.
Pelancaran “Takaful Mikro untuk Pekerja Gig” menerusi aplikasi Be U by Bank Islam pada Mei 2024 mencerminkan keupayaan Bank Islam untuk memperluaskan penawaran kewangannya bagi menangani keperluan pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan perbankan. Di samping itu, Bank Islam juga mendorong pertumbuhan industri halal dalam kalangan perniagaan mikro menerusi pelancaran Hal-Cube, satu penyelesaian yang memperkasakan usahawan mikro untuk mendapat pensijilan halal. Hal-Cube menyokong penggiat industri desa dengan menyediakan premis dan peralatan yang diperlukan bagi pengeluaran halal yang memenuhi piawaian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.
Inisiatif kewangan sosial Bank Islam, Sadaqa House, terus mendahului usaha memperkasakan komuniti. Setakat separuh pertama 2024, lebih RM6.3 juta telah digerakkan dan memberi impak positif kepada 298 usahawan mikro. Ia termasuk pengagihan sebanyak lebih RM5.8 juta dalam pembiayaan campuran di bawah program pembiayaan mikro iTEKAD BangKIT dan iTEKADMaju. Selain itu, RM1.4 juta telah diperuntukkan untuk menyokong kesejahteraan hidup dan pendidikan hampir 185 penerima manfaat, termasuk 84 anak yatim yang sedang meneruskan pengajian tinggi serta individu dari komuniti asnaf dan B40 di seluruh negara, menerusi pelbagai program dan usaha berimpak yang dianjurkan.
“Kami akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi. Kami berdedikasi untuk memperkasakan individu, perniagaan dan masyarakat dengan memacu kesejahteraan ekonomi dan kewangan mereka,” ujar Mohd Muazzam.
Bank Islam kekal teguh dalam komitmen kemampanannya di bawah rangka strategik LEAP25, memacu perubahan positif menerusi amalan perbankan yang mampan. Baru-baru ini Bank Islam telah disenaraikan dalam Indeks Shariah FTSE4Good Bursa Malaysia dan FTSE4Good Bursa Malaysia, mencerminkan kemajuan dalam usaha-usaha kemampanan dan inisiatif yang memberi impak positif terhadap iklim. Bank Islam kekal mengamalkan perniagaan yang bertanggungjawab dan komitmennya terhadap amalan terbaik ESG.