50 Tahun Kecemerlangan, Steel Recon Industries Perkukuh Legasi Dalam Industri Keselamatan Kebakaran

Steel Recon Industries (SRI), syarikat pengeluar peralatan pemadam kebakaran terbesar di Malaysia, baru-baru ini meraikan ulang tahun ke-50 penubuhannya dengan penuh gemilang melalui majlis makan malam gala di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur. Acara bersejarah ini menjadi simbol lima dekad inovasi, kepimpinan, dan komitmen SRI dalam mempelopori usaha memerangi kebakaran, sekaligus mengukuhkan reputasinya sebagai jenama buatan Malaysia yang bertaraf dunia.

Majlis tersebut turut menyaksikan detik istimewa apabila Pengasas dan Pengarah Urusan SRI, Dato’ Ong Yow Siang, menyerahkan cek bernilai RM50,000 kepada Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham Bin Mohammad. Sumbangan ini mencerminkan tanggungjawab sosial SRI serta kesungguhan mereka dalam menyokong komuniti dan keselamatan awam.

Dengan tema “50 Tahun Memimpin Usaha Menentang Kebakaran”, gala tersebut bukan sahaja memperingati pencapaian luar biasa SRI, tetapi juga menghargai sumbangan syarikat terhadap projek-projek ikonik di peringkat global. Antaranya termasuk Darling Harbour di Australia, Allianz Arena di Jerman, Menara Berkembar Petronas, KLIA1 dan 2, Tun Razak Exchange (TRX), serta Istana Negara.

Dalam ucapan pembukaan, Dato’ Ong Yow Siang menceritakan perjalanan syarikat sejak penubuhannya pada tahun 1974. “Ketika itu, Malaysia sangat bergantung kepada peralatan pemadam kebakaran yang diimport, menyebabkan kos yang tinggi kepada pemilik harta dan negara. Kami melihat keperluan mendesak untuk membangunkan industri tempatan yang lebih berdikari. Walaupun menghadapi cabaran besar di peringkat awal, kami berjaya berkembang pesat semasa ledakan industri pada tahun 1980-an dan mula menghasilkan pelbagai produk inovatif yang kini digunakan di seluruh dunia,” jelas beliau.

Beliau turut menambah, “Hari ini, SRI berdiri sebagai simbol inovasi dan daya tahan Malaysia. Sambutan ulang tahun ke-50 ini adalah penghargaan kepada pekerja, rakan kongsi, dan pelanggan yang telah menjadi nadi kepada kejayaan kami.”

YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, turut menyampaikan ucapan tahniah melalui rakaman video. Beliau mengiktiraf SRI sebagai perintis industri pemadam kebakaran di Malaysia dan satu-satunya syarikat tempatan yang mendapat pengiktirafan daripada lebih 20 badan kawal selia antarabangsa. Dedikasi SRI dalam melindungi nyawa dan harta benda selama lima dekad turut mendapat pujian.

Salah satu sorotan malam gala tersebut adalah penghargaan kepada 34 pekerja setia yang telah berkhidmat selama 10 hingga 50 tahun. Antara penerima utama ialah Encik Tan Jee Yee, Pengarah Kerja, yang telah bersama SRI sejak penubuhannya. Dalam ucapannya, Encik Tan berkongsi, “SRI bukan sekadar tempat bekerja, tetapi keluarga yang telah membentuk saya secara profesional dan peribadi. Saya bangga menjadi sebahagian daripada syarikat yang bukan sahaja memberi impak kepada kehidupan saya, tetapi juga kepada masyarakat di seluruh dunia.”

SRI turut menghargai sokongan padu daripada rakan perniagaan dan pelanggan setia yang memainkan peranan penting dalam pencapaiannya. Produk SRI kini digunakan secara meluas di lokasi-lokasi strategik seperti lapangan terbang, loji petrokimia, kilang pembuatan, stadium, dan hotel di seluruh dunia.

Majlis ini dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh legenda rock tanah air, Amy Search, serta alunan harmoni daripada The Shang Sisters yang memukau para tetamu. Malam gala itu menjadi simbol perjalanan 50 tahun SRI sebagai peneraju inovasi dan pelindung keselamatan, melakar masa depan yang lebih cerah untuk industri pemadam kebakaran Malaysia.