Selepas hampir tiga dekad tidak beraksi di pentas besar, kumpulan rap legenda 4U2C berjaya mengubat rindu peminat dengan konsert istimewa We 4U2C yang berlangsung penuh meriah di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada malam Isnin. Membawa tema “Bringin’ Back Da 90’s Flava”, konsert ini menyaksikan lebih 3,000 penonton hadir bagi meraikan semula kegemilangan era hip hop 90-an.
Selama lebih dua jam, 4U2C menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu popular mereka yang diberi nafas baharu melalui susunan muzik segar, diperkaya dengan visual moden serta penceritaan perjalanan seni yang menyentuh hati. Suasana penuh nostalgia itu membawa penonton kembali ke zaman di mana 4U2C pernah mencetuskan fenomena hip hop tanah air.
Menurut ketua kumpulan, Datuk AC Mizal, beliau bersama anggota lain amat terharu melihat sambutan luar biasa yang diberikan. “Kami benar-benar terharu melihat sokongan penonton. Inilah bukti muzik 4U2C masih dekat di hati mereka walaupun zaman sudah berubah. Terima kasih kerana terus menyokong,” katanya.

Selain AC, konsert ini turut menyatukan semula enam ahli asal Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam yang bersama-sama menghidupkan kembali aura kehebatan 4U2C di pentas. Persembahan turut diperkukuhkan dengan sentuhan kreatif komposer terkenal Aubrey Suwito selaku Pengarah Muzik, yang berjaya meramu elemen nostalgia dengan kontemporari menjadi sebuah persembahan mantap dan berkelas tinggi.
Lebih istimewa, malam bersejarah itu turut diserikan dengan kemunculan artis jemputan seperti Res2, M’Steen dan A to Z, yang menghangatkan pentas dengan lagu-lagu popular mereka, sekaligus menambah warna pada malam penuh kenangan tersebut.
Konsert We 4U2C dianjurkan oleh Juss Events Sdn. Bhd. dengan sokongan penuh daripada Millennium Group selaku penaja utama. Turut bersama sebagai rakan radio rasmi ialah Era, Sinar, Gegar dan Mix, manakala Astro Gempak bertindak sebagai rakan media digital.
Sorakan dan laungan peminat sepanjang malam membuktikan bahawa legasi 4U2C masih utuh, sekali gus menjadikan konsert ini sebagai satu detik bersejarah selepas sekian lama kumpulan tersebut tidak tampil bersama di pentas besar.