3 Hari, 3 Tema, 1 Mesej, Kasih Sayang di Singgahsana Trilogy Tour

Suruhanjaya Senyum membawakan Singgahsana Trilogy Tour oleh Pot Amir, sebuah siri persembahan muzik dan minum petang intim yang mengetengahkan mesej cinta dan kasih sayang dalam suasana penuh eksklusif. Acara ini akan berlangsung selama tiga malam berturut-turut, dari 1 hingga 3 Ogos 2025 di Liberal Latte, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Pot Amir, anggota kumpulan Innuendo dan Alkaline Radiostar, bersama Taj Innuendo selaku pengarah projek, setiap malam dalam siri ini membawa tema yang berbeza. Pada 1 Ogos, acara bertajuk SEMOGA PC akan berlangsung dalam bentuk kenduri ala makan dalam talam bersama anak-anak yatim sebagai tanda kasih dan kebersamaan.

Malam kedua, 2 Ogos pula menampilkan R&B DATE NITE, sebuah acara makan malam romantik khas untuk pasangan suami isteri, diiringi lagu-lagu cinta bergenre R&B. Acara kemuncak pada 3 Ogos ialah RATU HI-TEA, sesi minum petang istimewa untuk meraikan para ibu, di mana ahli keluarga boleh membeli meja untuk bersama ibu tersayang.

Setiap malam akan dimeriahkan dengan persembahan Pot Amir bersama rakan artis seperti Azan, Zain dan Sein dari kumpulan Ruffedge serta Lah Ahmad. Mereka akan diiringi pemuzik daripada Alkaline Radiostar.

Acara ini turut mendapat sokongan Dana Kandungan Kreatif dari MyCreative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital. Tempat duduk bagi setiap acara dihadkan kepada 90 orang sahaja untuk mengekalkan suasana selesa dan eksklusif. Tempahan boleh dibuat secara dalam talian di laman web LiberalLatte.my. – Tehtariktimes